Gempar, Langit Libya Bertukar Merah Jejas Aktiviti Harian Penduduk
Melihat langit yang cerah di pagi hari membuatkan ramai menyangka hari akan berlalu dengan tenang dan damai.
Segala perancangan yang telah disusun dapat dilaksanakan tanpa sebarang kebimbangan terhadap perubahan cuaca. Sekadar hujan renyai atau panas terik, lazimnya tidak menjadi halangan besar kepada sesiapa sahaja untuk meneruskan aktiviti harian.
Namun, suasana pasti bertukar cemas apabila langit yang cerah tiba-tiba berubah menjadi warna merah, sehingga mengaburkan pandangan.
Langit Libya bertukar merah, ragut satu nyawa
Baru-baru ini, tular di media sosial keadaan langit di Benghazi, Libya bertukar merah apabila dilanda ribut pasir. Keadaan tersebut menyebabkan aktiviti harian penduduk di sana terjejas.

Menerusi beberapa rakaman video dan gambar yang tular, pemandangan di sana jelas berwarna merah, sehingga menyebabkan pandangan terbatas.
Tidak hanya itu, kesan yang dialami setelah keadaan reda turut meninggalkan impak besar apabila sebahagian penduduk berdepan kerugian, selain dilaporkan cedera serta kehilangan nyawa.

Terdahulu, media melaporkan ribut pasir yang membadai Timur dan Selatan Libya menyebabkan satu kematian yang didakwa akibat bumbung bilik yang runtuh, manakala 15 lagi cedera.

Menurut laporan Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan pegawai Kementerian Kesihatan yang berpangkalan di Libya Timur, Khaled Al-Qhadafi berkata, mangsa mengalami cedera pada tahap ringan hingga sederhana tanpa memberikan butiran lanjut.
Berikutan kejadian ribut pasir ini, pihak kerajaan mengisytiharkan dua hari cuti bagi wilayah Timur dan Selatan negara tersebut.

Sebelum itu, pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan perintah berkurung dan penutupan semua kedai serta aktiviti komersial. Malah, penerbangan juga dihentikan buat sementara waktu.
Ribut pasir ini turut mengakibatkan beberapa pokok bersaiz besar tumbang dan menimpa kereta milik penduduk. Begitu juga kerosakan pagar rumah serta keruntuhan menara elektrik yang menyebabkan bekalan kuasa di beberapa bandar terjejas.