
Gempa Bumi Kuat Di Rusia: Indonesia, Filipina Keluarkan Amaran Tsunami
Indonesia dan Filipina mengeluarkan amaran tsunami di kedua-dua negara berkenaan susulan gempa bumi kuat 8.7 magnitud melanda Semenanjung Kamchatka, Rusia.
Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, pihaknya telah mengeluarkan amaran berkenaan terhadap beberapa wilayah.
“Antaranya Kepulauan Talaud (Sulut), Halmahera Utara (Malut), Manokwari (Papua Barat), Raja Ampat bagian Utara (Papua Barat), Biaknumfor (Papua), Supiori (Papua), Sorong bagian Utara (Papua Barat), Jayapura (Papua), Sarmi (Papua) dan Kota Gorontalo (Gorontalo),” maklum kenyataan itu.
BMKG turut menasihatkan penduduk di kawasan yang berada dalam status ‘waspada’ untuk menjauhi kawasan pantai dan tepian sungai.
Sementara itu, Jabatan Sains Dan Teknologi Institut Vulkanologi Seismologi Filipina (PHIVOLCS) turut mengeluarkan amaran tsunami setinggi kurang 1 meter.
Menurut jabatan itu, gelombang tsunami pertama dijangka tiba antara jam 1:20 tengah hari hingga 2:40 petang waktu tempatan di beberapa kawasan terlibat;
“Antaranya Pulau Batanes, Albay, Kepulauan Dinagat, Cagayan, Sorsogon, Surigao del Norte, Isabela, Catanduanes, Surigao del Sur, Aurora, Samar Utara, Davao del Norte, Quezon, Samar Timur, Davao Oriental, Camarines Norte, Leyte, Davao Occidental, Camarines Sur, Leyte Selatan, Davao del Sur dan Davao de Oro.
“Orang ramai yang tinggal berhampiran persisiran pantai di wilayah-wilayah berkenaan dinasihatkan untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat.
“Pemilik bot di pelabuhan, muara, atau perairan cetek di kawasan yang disebutkan juga disarankan untuk mengikat dan mengalihkan bot dari kawasan pantai. Bot yang sudah berada di laut sewaktu tempoh ini disarankan untuk terus berada di perairan dalam dan menjauhi pantai sehingga dimaklumkan selanjutnya,” maklum kenyataan itu.