Gelombang Pertama Tsunami Mendarat Di Jepun
Gelombang tsunami pertama dilaporkan telah ‘mendarat’ di utara Jepun berukuran sekitar 30 sentimeter (satu kaki), lapor AFP.
Menurut penyiar berita NHK, ombak itu melanda pulau utama utara Hokkaido, dengan NHK memberi amaran bahawa ombak berikutnya mungkin lebih tinggi.
Agensi cuaca Jepun berkata sebelum ini bahawa ombak sehingga tiga meter dijangka sepanjang perjalanan ke pantai utara dan timur Jepun, sehingga ke Wakayama di selatan Osaka.
Hampir dua juta orang dinasihatkan untuk berpindah dan dalam satu video siaran langsung, orang ramai dilihat berada di atas bumbung bangunan bagi menyelamatkan diri.
Di Pantai Inage di wilayah Chiba di Jepun, perimeter keselamatan telah disediakan dan seorang pekerja penyelamat memberitahu AFP bahawa kawasan tepi laut dilarang untuk dikunjungi sehingga dimaklumkan kelak.
“Saya tidak menjangka akan ada tsunami. Saya sebenarnya membuat jenaka mengenainya apabila kami mendengar (amaran),” kata seorang pelancong dari Kanada.
“Kami datang ke sini dengan harapan untuk berenang, tetapi sebaik sahaja kami mendengar amaran tsunami telah dikeluarkan, kami tidak masuk langsung, malah tidak dekat dengan air,” kata seorang pelancong tempatan kepada AFP ketika dia meninggalkan kawasan itu bersama anak perempuannya yang masih kecil.
Selain itu, pekerja loji nuklear Fukushima di timur laut Jepun yang musnah akibat gempa bumi besar dan tsunami pada 2011 juga telah dipindahkan.
Selain di Jepun, Pusat Amaran Tsunami AS turut mengeluarkan amaran tsunami tahap tertinggi di seluruh Hawaii.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menjauhi kawasan pantai,” kata pusat seismologi itu.
Kapal-kapal juga diarah menuju ke perairan terbuka menjelang ketibaan ombak sehingga dua meter, manakala kakitangan kerajaan di Honolulu dihantar pulang awal.
Ombak antara satu hingga tiga meter mungkin berlaku di beberapa pantai Chile, Costa Rica, Polinesia Perancis dan pulau-pulau lain di Pasifik.
Sumber: AFP
BACA JUGA: Gempa Kuat Di Rusia, Amaran Tsunami Dikeluarkan Di Pantai Pasifik Jepun