
Gelagat Suami Belajar Urus ‘Bayi’ Buat Ramai Terhibur
Bagi setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga, kehadiran cahaya mata merupakan satu anugerah yang amat dinanti-nantikan.
Perasaan teruja dan gembira bercampur dengan sedikit debaran pastinya tidak dapat digambarkan apabila mengetahui isteri sedang mengandung.
Lebih-lebih lagi jika ini adalah pengalaman pertama bergelar “ibu” dan “ayah”.
Seiring dengan detik kelahiran yang semakin hampir, pelbagai persiapan mula dilakukan. Bermula daripada membeli keperluan bayi, menghias bilik si kecil, sehinggalah menghadiri kelas keibubapaan.
Bagi para ibu, mungkin segalanya terasa lebih semula jadi kerana secara fizikal dan emosi, mereka lebih bersedia.
Namun, bagi para suami, tugas ini boleh menjadi sesuatu yang mencabar dan penuh dengan ‘kejutan’.
Tugas seperti menukar lampin, memandikan bayi, menyusukan dengan susu botol, atau menenangkan si kecil yang menangis tanpa henti mungkin kelihatan mudah pada mata kasar.
Namun, apabila tiba masanya untuk melakukan sendiri, barulah ramai para suami menyedari betapa mencabarnya tugas ini.
Ada yang kekok, ada yang cemas, malah ada juga yang keliru sehingga tidak tahu di mana hendak bermula.
Baru-baru ini, tular di media sosial gelagat pasangan muda yang sedang belajar menguruskan bayi dalam kelas antenatal, dikongsikan menerusi TikTok @hospitalislamazzahrah.
Lebih melucukan, para suami kelihatan begitu bersemangat ingin belajar mengurus bayi tetapi akhirnya menjadi ‘jenaka’ kerana aksi kekok mereka.
Dari cara mendukung yang janggal, teknik ‘unik’ menukar lampin, sehinggalah riak wajah yang mencuit hati ramai.
Dalam video lain pula, kelihatan para suami turut diajar cara meneran ketika bersalin.
Mereka kelihatan begitu ‘bersungguh’, dan reaksi wajah mereka membuatkan ramai yang menonton video tersebut terhibur.
“Tujuan para ayah buat cara meneran ketika bersalin di program ini bukan untuk bagi ayah rasa pengalaman bersalin.
“Tapi bagi ayah belajar cara simulasi meneran yang betul untuk ajar isteri nanti dan kami juga ingin menjaga aurat para isteri sepanjang aktiviti berlangsung,” jelas @hospitalislamazzahrah.
Biarpun nampak kelakar dan mengundang tawa, hakikatnya usaha seorang suami untuk mempersiapkan diri dalam menjaga anak adalah sesuatu yang patut dihargai.
Bukan mudah untuk keluar dari zon selesa dan mencuba sesuatu yang baharu, apatah lagi dalam ‘bidang’ yang selama ini lebih sinonim dengan kaum ibu.
Ia bukan sahaja menunjukkan kasih sayang dan tanggungjawab seorang suami dalam keluarga.
Malah, juga membuktikan bahawa seorang ayah boleh menjadi sebahagian daripada perjalanan membesarkan si kecil, bukan sekadar pemerhati dari jauh.
Semoga lebih banyak pasangan suami isteri semakin sedar akan kepentingan untuk saling memahami dan bekerjasama dalam menguruskan anak-anak.
Rumah tangga yang bahagia dan harmoni bukan hanya terletak pada kasih sayang, tetapi juga pada kesediaan untuk berkongsi tanggungjawab dan menyokong antara satu sama lain.
Buat mereka yang masih menanti kehadiran cahaya mata, semoga segala urusan dipermudahkan dan doa-doa mereka dimakbulkan.
Setiap rezeki datang pada waktunya, dan semoga mereka dikurniakan zuriat yang sihat, soleh serta membawa kebahagiaan dalam kehidupan.
BACA: 14 Tahun Join Puasa Waktu Ramadan, Soo Wincci Kongsi Tip Buat Non-Muslim
BACA: Wanita Kongsi Versi “Bekal Suami VS Bekal Isteri” Buat Ramai Terhibur
BACA: Rakyat Malaysia ‘Bersatu’ Bantu Gadis Istimewa Pulang Dengan Selamat
Sumber: TikTok @hospitalislamazzahrah