
Gelagat Bapa Buat Kejutan Hari Lahir Anak Sentuh Hati Ramai
Kehadiran seorang bapa dalam kehidupan anak sememangnya penting. Tidak kira sama ada sebagai contoh ikutan atau penguat semangat dan jati diri anak menghadapi hidup. Malah susuk seorang bapa sering dikaitkan dengan ketegasan dalam hal-hal keluarga.
Namun, amat jarang sekali untuk kita dengar seorang bapa meluahkan perasaan, kasih dan sayangnya terhadap anak-anak. Perkara ini mungkin disebabkan para ibu lebih sinonim dengan kelembutan dan perihal perkembangan emosi anak-anak.
Hati siapa yang tidak tersentuh tatkala melihat seorang bapa yang sudah berumur, cuba sedaya upaya memberi kejutan buat anak. Biarpun sederhana dan hanya membawa kek yang dihiasi sebatang lilin, ikatan kasih sayang antara kedua bapa dan anak lelaki ini tetap terserlah indah.
Seorang lelaki berkongsi rakaman bapanya muncul membuat kejutan selepas dia dimarahi di laman TikTok miliknya, @mohdaziiz.
Menerusi video berdurasi satu minit itu, Aziz kelihatan terharu apabila bapanya muncul bersama sebiji kek dan mendekati dirinya sambil tersenyum manis.
“Ayah marah-marah tadi. Suruh Aziz ke dapur cuci pinggan yang sudah kotor kerana sudah tidak ada pinggan bersih yang ingin diguna. Tak lama selepas itu, ayah bawakan Aziz kek sempena ulang tahun kelahiran Aziz. Terima kasih, ayah. Maafkan Aziz ya ayah, kadang Aziz lalai dalam menyiapkan kerja rumah. Aziz sayang ayah,” nukil lelaki tersebut.
Rakaman video tersebut turut menunjukkan keadaan di sebalik tabir iaitu ketika bapanya sedang bersiap sedia membuat kejutan. Rakaman tersebut diakhiri dengan suapan daripada bapa kepada anaknya.
Di ruangan komen, warga maya berpusu-pusu memberi ucapan hari lahir kepadanya. Malah, ramai yang tersentuh melihat hubungan anak-beranak tersebut.
“Kalau pasal ayah ja, aku menangis,” ujar seorang warga maya.
“Comelnya bapa bila senyum. Jaga kesihatan ya, pak cik,” ucap seorang lagi.
“Saya cemburu, ayah dah tak ada kalau nak minta macam ni,” luah yang lain.
BACA: Ridzokumura Kongsi Nota Terakhir Arwah Akiko
Sumber: TikTok @mhdaziiz