Seorang lelaki di India didakwa tergamak memukul kepala isterinya dengan sebatang kayu sebelum cuba untuk menanamnya hidup-hidup hanya kerana perselisihan faham mengenai isu rumah tangga, lapor Gulf News.
Menurut polis, mangsa yang berusia 37 tahun itu tinggal bersama suaminya yang berusia 30 tahun di kampung Gotlapalem daerah Nellore di negeri Andhra Pradesh, India.
“Pada malam 27 Mei lalu, pasangan tersebut telah meluangkan masa menikmati minuman keras bersama sebelum bertengkar mengenai beberapa isu. Suaminya yang naik berang semasa pertengkaran itu telah bertindak memukul kepala mangsa menggunakan sebatang kayu. Akibat daripada itu, mangsa telah pengsan dan jatuh,” kata pegawai polis Kodavaluru, Pratap.
Polis juga turut menyatakan bahawa anak perempuan kepada pasangan itu yang berusia tujuh tahun adalah merupakan saksi kejadian, dan turut memaklumkan kepada pihak polis bahawa suspek telah bertindak menanam ibunya itu hidup-hidup.
“Suspek menggali lubang di kawasan berhampiran dan telah menanam mangsa ketika dia masih lagi bernafas di antara malam 27 Mei dan 28 Mei. Suspek juga turut sempat mengancam kanak-kanak itu sebelum melarikan diri”.
Inspektor Srinivas Rao telah dikerahkan ke tempat kejadian untuk menggali semula mayat mangsa. Setelah menjumpainya, mayat mangsa tersebut dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
“Polis masih lagi giat memburu suspek yang melarikan diri. Maklumat berkenaan bila dan bagaimana mangsa meninggal dunia akan diketahui selepas laporan bedah siasat dikeluarkan,” kata polis tersebut.
Kertas siasatan sudah pun dibuka dan kes masih sedang dalam siasatan.
Sumber: Gulf News