
Seorang wanita didenda sebanyak RM17,000 baru-baru ini gara-gara sering memberi makanan kepada burung hingga menimbulkan rasa kurang senang oleh jirannya.
Tindakan wanita tersebut, Irene Webber telah menyebabkan kawasan perumahan mereka di Minehead Avenue, Sully di Bandar Penarth, UK itu telah dicemari dengan kehadiran tikus serta najis burung merpati.
Tidak cukup dengan itu, sesetengah warga kejiranan yang berang dengan pencemaran najis burung, bau busuk serta haiwan perosak itu turut menggelarnya sebagai ‘wanita neraka sebenar’.
Menurut Ahli Majlis Daerah Tempatan, Kevin Marney, ini bukan kali pertama Irene dikompaun sebegitu atas kesalahan yang sama sepanjang 20 tahun wanita itu menetap di situ.
“Dia meletakkan makanan burung dengan begitu banyak hingga menyebabkan 80 ke 100 ekor merpati dan camar berkumpul di atap rumahnya (untuk makan).
“Kelakuannya itu menyebabkan tikus-tikus mulai datang, selain mengakibatkan jiran-jiran tidak dapat berada di laman rumah mereka sebab takut terkena najis burung.
“Kerusi dan perabot lain di laman rumah mereka pun terpaksa dicuci dan disanitasi. Bahkan mereka sukar nak jemur pakaian di luar, tikus pula berlari-lari di lantai dan kaki anak kecil mereka. Ini memang sangat mengerikan,” tegasnya, memetik laporan Mirror.
Sementara itu, jiran-jiran yang terkesan memaklumkan, makanan yang dilemparkan Irene itu juga akan berterabur dari bumbung ke tanah, selain turut mengotori bumbung kereta dan tingkap rumah.
Malah ada yang lainnya mengeluh bahawa mereka sukar untuk membuat aktiviti di luar rumah seperti masak barbeku bersama keluarga.
Selepas diberi notis Peringatan Perlindungan Komuniti (CPW) serta Notis Perlindungan Komuniti (CPN) sebelum ini namun tidak diendahkan, akhirnya Irene terpaksa menerima hukuman dikompaun oleh Majlis Daerah sebanyak RM17,000.
Sumber: Mirror