
Gara-gara Lempar Syiling Dalam Enjin Pesawat, Penerbangan Ditangguh Empat Jam
BEIJING — Gara-gara melemparkan syiling ke dalam enjin pesawat, sebuah penerbangan di China terpaksa ditangguhkan kira-kira empat jam dalam kejadian Rabu lalu, lapor CNN.
Menurut media kerajaan tempatan, penerbangan China Southern Airlines CZ8805 pada awalnya dijadualkan berlepas dari bandar Selatan Sanya ke Beijing sekitar jam 10 pagi waktu tempatan pada 6 Mac.
Bagaimanapun, penerbangan ini tidak berlepas sehingga lebih kurang jam 2.16 petang waktu tempatan akibat insiden terbabit.
Dalam rakaman yang dikongsikan oleh rangkaian media tempatan, ia memaparkan seorang kru penerbangan menyoal seorang penumpang dipercayai individu yang didakwa itu.
Penumpang tersebut mengakui telah melemparkan beberapa keping syiling ke dalam enjin pesawat.
Sementara itu, syarikat penerbangan itu turut memaklumkan menemui syiling berkenaan namun tidak menjelaskan jumlah selepas pemeriksaan keselamatan.
“Kakitangan penyelenggaraan pesawat menjalankan pemeriksaan yang komprehensif dan menentukan bahawa tiada isu keselamatan sebelum berlepas,” maklum China Southern Airlines kepada pihak media.
Difahamkan, penumpang terbabit didakwa melemparkan syiling untuk mendapatkan ‘nasib yang baik’. Namun, dia yang tidak didedahkan identiti telah dibawa keluar oleh polis lapangan terbang.
“Kepercayaan Karut”
Dalam pada itu, China Southern Airlines telah mengeluarkan amaran terhadap perbuatan itu di platform Weibo.
“Perbuatan melemparkan syiling ke pesawat boleh menimbulkan ancaman keselamatan penerbangan dan akan dikenakan hukuman mengikut tahap,” kata syarikat itu lagi.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini di China, kes seperti ini telah dilaporkan berlaku beberapa kali.
Pada Oktober lalu, penerbangan China Southern Airlines terpaksa ditangguhkan di Guangzhou selepas seorang penumpang bertindak membaling syiling ke arah pesawat itu.
Manakala pada 2021, penerbangan GX Airlines antara Weifang dan Haikou juga dibatalkan apabila beberapa syiling yang dibungkus dengan kertas merah ditemui di atas tanah.
Pada 2017, seorang penumpang warga emas melemparkan syiling pada pesawat China Southern Airlines semasa menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong Shanghai. Dia kemudiannya mendakwa, ia adalah untuk ‘doa selamat’.
Sumber: CNN