Kerosakan enjin dan penumpang tersalah buka pintu adalah antara sebab-sebab lazim yang memaksa sesebuah pesawat itu membuat pendaratan kecemasan.
Namun begitu, kali ini lain pula ceritanya kerana sebuah pesawat penumpang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan selepas juruterbang dilaporkan diserang oleh seekor kucing yang agresif.
Pesawat penumpang itu terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang Khartoum, Sudan gara-gara seekor kucing yang agresif menyerang juruterbang di bahagian kokpit pesawat.
Selepas hampir setengah jam berlepas dari Lapangan terbang Antarabangsa Khartoum, penumpang yang tidak diundang itu telah masuk ke bahagian kokpit pesawat dan mula menyerang juruterbang.
Kucing yang agresif itu dilaporkan telah menyerang seluruh kru pesawat tersebut. Selepas tiada sesiapa pun yang berjaya mengawal kucing tersebut, juruterbang memutuskan untuk patah balik dan melakukan pendaratan kecemasan, lapor media tempatan Al-Sudani.
Walaupun semua penumpang dan kru berjaya mendarat dengan selamat, namun masih tidak dapat dijelaskan tentang bagaimana kucing agresif itu boleh masuk ke dalam kawasan kokpit.
Setakat ini, dipercayai bahawa kucing tersebut telah menyelinap masuk ke dalam pesawat penumpang ketika kru membuka pesawat itu untuk pembersihan atau tinjauan teknikal.
Menurut laporan tempatan, pesawat itu telah diparkir di hangar di lapangan terbang Khartoum dan dipercayai bahawa kucing itu telah menyelinap masuk melalui hangar tersebut.
Sumber: WION