Unit Siasatan Jenayah Polis Tuban (Sat Reskrim) dilaporkan berjaya menahan lelaki berusia 53 tahun di Jatirogo, Kabupaten Tuban, Jawa Timur, Indonesia kerana didakwa melakukan jenayah rogol terhadap seorang kanak-kanak terencat akal.
Ketika suspek melakukan perbuatan kejinya itu, kedua-dua ibu bapa mangsa yang juga merupakan rakan kepada suspek baru sahaja meninggalkan rumah.
Menyedari bahawa mangsa tinggal sendirian pada ketika itu, suspek dilaporkan telah bertindak memaksa mangsa melakukan hubungan intim bersamanya.
Mangsa yang merasa dipaksa cuba untuk menolak pada mulanya, tetapi oleh kerana dia terasa dirinya diancam oleh suspek, mangsa akhirnya terpaksa memenuhi permintaan suspek.
Menurut pengakuannya, suspek nekad bertindak sebegitu kerana isterinya yang sudah tua tidak mampu untuk melayani permintaannya itu lagi.
Perkara tersebut dinyatakan sendiri oleh Ketua Polis Tuban AKBP Darman, pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Tuban pada Rabu (2/2/2022).

Menurutnya, kejadian rogol itu berlaku pada Selasa (25/1/2022) pada sekitar jam 9.30 pagi waktu tempatan. Pada ketika itu, suspek telah datang ke rumah ibu bapa mangsa untuk menawarkan barang, namun kedua ibu bapa mangsa tidak ada di rumah pada waktu itu.
Menyedari bahawa keadaan rumah tersebut sunyi, suspek kemudiannya telah memaksa mangsa masuk ke dalam bilik dan meminta mangsa melakukan hubungan seks bersamanya.
“Ayahnya keluar sekejap, di situlah suspek melakukan perbuatannya itu,” kata Ketua Polis Tuban, AKBP Darman.
AKBP Darman turut menjelaskan bahawa suspek merupakan seorang tukang kayu yang sudah mengenali bapa mangsa.

“Mangsa cuba menolak, kerana dirinya diancam oleh suspek, akhirnya mangsa terpaksa memenuhi permintaan suspek,” kata AKBP Darman.
AKBP Darman menambah bahawa, suspek telah bertindak menutup mulut mangsa dengan tangannya agar mangsa tidak dapat menjerit meminta tolong.
Sementara itu, suspek menyatakan kepada penyiasat bahawa dia hanya melakukan perbuatan kejinya itu sekali sahaja.
Ketika ini, suspek telah ditahan di bilik tahanan polis Tuban bagi menjalani proses perundangan selanjutnya.
Atas perbuatannya itu, suspek bakal berhadapan dengan hukuman penjara selama 12 tahun.
Sumber: Kumparan