Nampak mudah tapi tidak semua orang boleh lulus ujian memandu dengan baik. Selama ini, kita mungkin pernah dengar mengenai individu yang ‘bergelut’ untuk lulus ujian tersebut sehingga perlu mengulanginya lebih dari tiga kali.
Rupa-rupanya ada individu yang masih lagi belum mendapatkan lesen walaupun telah mengambil ujian sebanyak 1000 kali.
Individu tersebut merupakan seorang wanita yang dikenali sebagai Isabelle Stedman, 47.
Menurut Daily Star, selama 30 tahun memasuki kelas memandu, dia tetap merasa resah dan takut setiap kali duduk di tempat memandu.
Fobianya itu menyebabkan dia sering berpeluh, gementar dan takut sehingga dia menangis dan terpaksa berhenti memandu, bahkan dia juga pernah pengsan.

Difahamkan, dia tidak pernah mengalami kemalangan kereta tetapi ketakutan tetap menyelubunginya.
Sepanjang 30 tahun, dia telah belajar memandu dengan tujuh tenaga pengajar yang berbeza dan anggaran wang yang dihabiskannya untuk tujuan itu ialah sebanyak £ 10,000 (RM57,470).
Isabelle juga kaedah hipnotis untuk bersiap sedia menjalani ujian tetapi malangnya dia tidak pernah bersedia untuk melaluinya.
“Saya telah belajar selama 30 tahun tetapi setiap kali saya masuk ke dalam kereta, saya rasa seperti tidak pernah berada di dalamnya sebelum ini dan ia menakutkan,” katanya.
Sementara itu, fobia yang dialami olehnya turut membingungkan doktor kerana dia sebelum ini tidak pernah terlibat dalam kemalangan.
Mujurlah anak-anaknya berjaya melalui ujian memandu tanpa ada apa-apa masalah.
Sumber: Daily Star