PADANG BESAR – Ekoran Kerajaan Thailand memberi ‘lesen’ kepada penanaman ganja sejak 9 Jun lalu, cubaan sindiket seludup bahan itu ke negara ini dijangka meningkat kelak.
Memetik laporan Kosmo!, sehingga kini, pihak berkuasa bagaimanapun masih belum mengesan sebarang aktiviti itu, jelas Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad.
“Penawaran akan jadi banyak di Thailand, jadi saya menjangkakan akan berlaku peningkatan penyeludupan ke negara ini.
“Ini kerana biasanya ketum akan diseludup ke Thailand manakala ganja pula akan dibawa masuk ke Malaysia,” jelasnya, memetik Kosmo!.
Menurutnya lagi, harga sekilogram bagi ganja juga masih sama iaitu RM2,500 per kilo.
“Buat masa ini tidak berlaku lagi penurunan harga ganja susulan perkembangan terbaharu itu,” katanya.
Surina berkata demikian semasa sidang media pada program pelupusan barang daun ketum di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Rimba Mas hari ini.
Sumber: Kosmo!