Menjadi negara maju bukan sahaja perlu ada teknologi dan bangunan pencakar langit yang tinggi namun kesedaran mengenai kebersihan juga perlu diterapkan kerana ia menjadi dasar yang mencerminkan sebuah negara yang sejahtera.
Perlu diakui bahawa ada sesetengah rakyat Malaysia yang masih tidak peka terhadap kebersihan walaupun pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh kerajaan untuk memberi kesedaran kepada rakyat.
Namun, baru-baru ini telah tular satu video yang menunjukkan seorang lelaki bertindak memberi kesedaran kepada pengguna jalan lain.
Video yang berdurasi 57 saat itu dimuat naik sendiri oleh Azham Aizad di laman Facebook miliknya dengan harapan boleh menyedarkan orang ramai agar menjaga kebersihan walau berada di mana sahaja.
Melalui ‘dashcam’ kereta miliknya, dapat dilihat bahawa ada penumpang di belakang sebuah kereta membuang sampah ke atas jalan dan Azham tidak menunggu lama untuk keluar dari kereta dan ‘menyerahkan’ semula sampah kepada kereta tersebut dengan menyelit pada pengelap cermin.
Tindakan berani yang dilakukan oleh Azham itu dipuji oleh netizen yang rata-ratanya memberikan komen yang positif .





Menurut Azham, video yang dirakam di Jalan Sultan Yahya Petra yang menuju arah jalan Tun Razak itu dimuatnaik bagi memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak membuang sampah sesuka hati.
Sumber: Azham Aizad