Gambar: Bernama

Gara-Gara Anak Berhutang Ah Long, Ibu Bapa Hidup Dalam Ketakutan

Aqmal Ezany

OHOR BAHRU, 1 Mac (Bernama) — Pinjam RM1,000, namun hanya terima RM350 dan kini perlu membayar RM12,000 kepada ceti haram atau along, dakwa sepasang suami isteri yang sekarang hidup dalam ketakutan gara-gara perbuatan si anak gagal menjelaskan hutang itu.

Chong Kok Yeong, 55, dan isteri Teoh Lee Hong, 56, mendakwa rumah mereka di Taman Pulai Utama, Skudai dibaling bom molotov pada 9 Feb lalu sehingga menyebabkan beberapa bahagian di halaman rumah terbakar.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, saya percaya mereka individu sama yang menyimbah cat merah dan hitam pada 7.30 malam, 8 Feb lalu,” katanya pada sidang media di pejabat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor, di sini hari ini.

Menurut lelaki itu, anaknya yang berusia 21 tahun bekerja di sebuah kedai makan di Pulau Pinang, namun telah menghilangkan diri sejak 19 Feb lepas.

“Anak lelaki saya ini gemar bermain judi dalam talian dan telah meminjam RM1,000 pada awal Februari lalu, namun hanya terima RM350 dan kini along itu minta bayaran balik RM12,000,” katanya, menambah turut menerima surat ugutan rumahnya akan dibakar jika hutang tersebut tidak dibayar.

Chong berkata dia juga telah membuat lima laporan polis, mengharapkan tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima kesemua laporan polis berkenaan.

Sumber: BERNAMA