KUALA LUMPUR, 9 Okt – Gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 274 kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya telah pulih sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Suhaimi Kamaralzaman berkata, air bersih yang disalurkan kepada 309,687 pengguna itu telah melalui ujian kualiti dan pematuhan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Secara keseluruhannya, Pelan Pemulihan Bekalan Air telah berjaya dilaksanakan 12 jam lebih awal daripada yang dijadualkan setelah Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi kembali beroperasi.
“Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya para pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan tidak berjadual ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, kerjasama antara pihak berkuasa dan pengguna dalam memelihara sungai daripada tercemar adalah digalakkan.
Jelasnya, semua pihak dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga badan pengurusan tersebut dalam melaporkan sebarang aktiviti pencemaran atau mencurigakan berhampiran kawasan sungai.
“Air Selangor akan berusaha sedaya mungkin untuk memberi sokongan kepada komuniti dalam inisiatif untuk memelihara dan menjaga sungai kita.
“Kami juga berterima kasih kepada semua operator air iaitu Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd., Pengurusan Air Pahang Berhad, Syarikat Air Melaka Berhad, Lembaga Air Perak, Syarikat Ranhill SAJ Sdn. Bhd., Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. yang turut membantu dalam pengagihan bantuan bekalan air kepada para pengguna yang terjejas, serta kepada pihak berkuasa yang bertindak segera dalam menyelesaikan isu pencemaran air mentah di Sungai Semenyih,” tambah kenyataan itu lagi.
Sebarang info dan maklumat rasmi gangguan bekalan air di Selangor boleh dirujuk melalui aplikasi Air Selangor, media sosial Twitter, Facebook dan Instagram serta laman rasmi www.airselangor.com.

Sumber: Air Selangor