KUALA LUMPUR, 22 Okt – Gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,292 kawasan di wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah pulih sepenuhnya.
Air Selangor menerusi satu kenyataan berkata, kesemua kawasan terlibat telah menerima bekalan air bersih sepenuhnya pada pukul 6 pagi tadi.
“Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada para pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
“Pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air melalui saluran-saluran komunikasi rasmi Air Selangor termasuk aplikasi Air Selangor, Facebook, Twitter dan Instagram serta www.airselangor.com,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Terdahulu, Loji Rawatan Air Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang, Klang terpaksa dihenti tugas berikutan berlaku pencemaran yang dikesan di Sungai Selangor pada 19 Okt lalu.
Seramai 1,196,457 akaun pengguna dilaporkan terjejas akibat gangguan bekalan air bersih tersebut.

Sumber: Air Selangor