Gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam dijangka akan berlaku di beberapa kawasan pada 30 Mac 2021 disebabkan oleh kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam.
Menurut kenyataan Air Selangor di Facebook, kerja-kerja tersebut akan dijalankan bermula pada jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam dan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 5 kawasan di Wilayah Petaling, 14 kawasan di Wilayah Klang dan 11 Kawasan di Wilayah Shah Alam.
Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9.00 pagi, 1 April 2021.
Ia salah satu daripada kerja-kerja penyenggaraan aset utama secara berjadual bagi tahun 2021.
Sementara itu, kerja-kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates akan dijalankan pada 6 April 2021 (dari 9.00 pagi hingga 9.00 malam) dan dijangka pulih sepenuhnya pada 9 April 2021, jam 5.00 pagi.
Ia menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nenas dan Wangsa Maju yang bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 68 jam di 12 kawasan di Wilayah Gombak dan 46 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Air Selangor juga dalam perancangan untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan aset-aset utama di beberapa loji rawatan air iaitu Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 pada 15 Jun 2021, Loji Rawatan Air Sungai Langat pada 6 Julai 2021, dan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 pada 5 Oktober 2021.
“Air Selangor akan memaklumkan senarai kawasan-kawasan yang terlibat dan jadual pemulihan bekalan air dengan lebih terperinci setelah kelulusan SPAN diperolehi,” kata Air Selangor.
Para pengguna dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh ini.
Sumber: Air Selangor