Sepasang pasangan suami isteri di Vietnam menjadi perhatian media selepas gambar perkahwinan mereka tular di media sosial baru-baru ini.
Apa yang menarik perhatian adalah si isteri memiliki ketinggian normal orang dewasa, manakala si suami pula hanya ‘sebaris’ sama tinggi dengan kanak-kanak di sebelahnya.
Menurut portal media Wolipop, si isteri, Li Thie Die yang memiliki ketinggian 163 sentimeter (cm) menikahi pasangan hidupnya, Trinh Van Phong yang hanya setinggi 137 cm.
Difahamkan, Trinh mengakui bahawa tinggi badannya terbantut sejak sekolah rendah. Ia menyebabkan dirinya sering dibuli namun dia tidak mahu berfikir tentang perkara itu, lapor media Vietnam, Eva.
Sejak mengenali isterinya yang bekerja berhampiran dengan tempat tinggalnya satu ketika dahulu, mereka berdua sering bertemu dan saling mengenali.
Sehinggalah setelah tiga tahun bercinta, Trinh dan Li Thie akhirnya mengambil keputusan untuk berkahwin.
Bagaimanapun, pada awalnya perkahwinan itu tidak dipersetujui oleh keluarga masing-masing disebabkan fizikal Trinh. Namun, mereka berjaya meyakinkan keluarga masing-masing pada akhirnya.
“Susah betul kami nak yakinkan keluarga untuk merestui kami berkahwin. Saya tak tahulah macam mana isteri saya boleh buat, sudahnya lepas dua minggu keluarga pun setuju,” jelas Trinh.
Gambar: WolipopSelain itu, ada beberapa keping gambar sebelum perkahwinan mereka menarik perhatian ramai kerana ia dianggap unik. Dalam gambar tersebut, Trinh berdiri di atas pagar dengan gaya sambil mencium Li Thie.
Meskipun memiliki fizikal yang berbeza, namun gambar itu nampak terlalu romantik. Ia seakan membuktikan bahawa cinta yang sebenar-benar cinta tidak melihat pada paras fizikal semata-mata.
Selain itu, semasa acara memotong kek, Trinh perlu dibantu dengan menaiki tangga. Pasangan itu tampak bahagia semasa meraikan hari perkahwinan mereka.
Meskipun sering menerima kata-kata negatif terhadap perbezaan tinggi mereka, namun pasangan itu mengabaikannya dan tidak peduli dengan kata-kata dari pihak luar.
Sumber: Wolipop