Aksi seekor harimau betina Amur yang sedang memeluk pokok membawa tuah bagi jurugambar Rusia, Sergey Gorshkov yang menjadi pemenang anugerah Wildlife Photographer of the Year tahun ini.
Kemenangan itu adalah hasil 11 bulan usaha Sergey menggunakan kamera tersembunyi untuk merakamkan gambar spesies tersebut yang hanya boleh ditemui di timur Rusia.
“Ia adalah pemandangan yang berbeza dengan yang lain. Sekilas detik intim di dalam hutan ajaib,” kata Roz Kidman Cox, ketua panel penghakiman.
Menurut ahli juri, Tim Littlewood, harimau Amur atau harimau Siberia kini menghampiri kepupusan akibat pemburuan dan pembalakan. Pun begitu, usaha pemuliharaan haiwan itu dipercayai berjaya meningkatkan jumlah spesies berkenaan.
“Pemandangan luarbiasa harimau yang ‘tenggelam’ dalam lingkungan semula jadi memberi kita harapan, kerana laporan terkini menunjukkan peningkatan jumlahnya hasil usaha pemuliharaan yang berdedikasi,” katanya.
Menurut CNN, majlis penganugerahan pertandingan fotografi anjuran Natural History Museum itu telah dijalankan secara atas talian pada Selasa lalu. Beberapa gambar terpilih daripada 100 imej yang telah disenaraipendek akan dipamerkan di Natural History Museum di London.
Gambar: Daily MailSumber: CNN