Gaji Minimum Pekerja Runcit Singapura Dinaikkan Hampir RM8,500 Sebulan
Bermula 1 September ini, lebih 53,000 pekerja runcit akan menikmati kenaikan gaji berterusan termasuk latihan berfokus dan laluan kerjaya yang jelas di bawah Model Gaji Progresif Runcit (PWM), lapor mothership.
PWM diluluskan oleh kerajaan negara itu berdasarkan cadangan Tripartite Cluster for Retail (TCR).
Model ini menyediakan jadual kenaikan gaji selama tiga tahun bermula 2025 hingga 2027.
Difahamkan, PWM ini akan meliputi lebih 53,000 pekerja runcit sepenuh masa dan separuh masa yang menetap di Singapura.
Gaji Minimum Pekerja Singapura
Menurut laporan, pekerja runcit akan menerima sekurang-kurangnya gaji PWM peringkat kemasukan (1 September ini) sebanyak S$2,305 (lebih RM7,500), meningkat daripada kadar semasa S$2,175 (RM7,150).
Bagi tempoh 2025 hingga 2027, gaji asas kasar bulanan akan naik daripada S$2,305 (lebih RM7,500) kepada S$2,565 (hampir RM8,500) dengan kenaikan tahunan sehingga S$160 (RM525).
Sekiranya, keadaan ekonomi bertambah baik, Gaji Kasar Asas PWM bagi tahun 2027 mungkin diselaraskan ke paras yang lebih tinggi.
Gambar: MOM via mothershipBagaimanapun, ia tertakluk kepada semakan pada 2026.
Dalam masa yang sama, TCR turut merangkumi syarat gaji tambahan untuk kerja lebih masa dalam model PWM ini.
Gaji kasar per jam juga terpakai kepada pekerja sambilan yang bekerja kurang daripada 35 jam seminggu.
Sokongan Terhadap Majikan
Tambahan lagi, bantuan peralihan juga akan diberikan kepada majikan untuk menyesuaikan diri dengan kenaikan gaji PWM.
Majikan yang layak akan menerima sokongan pembiayaan bersama secara automatik di bawah Skim Kredit Gaji Progresif (Progressive Wage Credit Scheme, PWCS) sehingga 2026.
Menerusi langkah ini, PWCS akan membiayai sehingga 40 peratus kenaikan gaji yang diberikan kepada pekerja berpendapatan rendah pada tahun 2025, dan 20 peratus pada tahun 2026.
Secara tidak langsung, inisiatif ini bertujuan mengurangkan tekanan kos sambil membantu perniagaan memacu usaha transformasi bagi meningkatkan produktiviti dan menaikkan gaji secara mampan.
Modul Latihan WSQ
Di bawah senarai modul latihan Workforce Skills Qualification (WSQ), mereka yang layak memenuhi keperluan latihan minimum PWM perlulah sekurang-kurangnya melengkapkan satu modul latihan WSQ untuk semua peranan kerja.
Pekerja runcit yang mempunyai kelayakan berkaitan daripada Institusi Pengajian Tinggi (IHL) atau yang memiliki Sijil Subjek Kemahiran ITE (ISSC) dalam bidang Runcit & e-Dagang juga akan diiktiraf sebagai memenuhi keperluan latihan minimum PWM.
Sumber: Mothership