SINGAPURA, 5 Dis (Bernama) — “The only way to do great work is to love what you do. If you haven’t found it yet, keep looking. Don’t settle” – Steve Jobs.
Kata-kata inspirasi berkaitan kerjaya oleh Jobs, pengasas bersama Apple Inc mungkin sesuai menggambarkan Muhammad Khidir Samsudin, rakyat Malaysia yang baru sahaja membina kerjaya di Singapura.
Selesa dipanggil sebagai Eday, beliau dan rakan sekerjanya Mohd Yuamirul Che Yusoff baru-baru ini menjadi tumpuan menerusi media sosial kerana memulangkan semula peranti iPad Pro milik seorang warga Singapura yang dijumpai di dalam tong kitar semula.
Pada 2 Dis lepas, Michelle Lim merakam penghargaannya menerusi laman Facebook, terhadap mereka dan turut melampirkan mesej daripada Eday yang memaklumkan penemuan peranti itu yang hilang setahun lepas.
Apa yang menarik perhatian Bernama selain sifat baiknya ialah, Eday, 25, memperkenalkan dirinya sebagai ‘pengutip sampah’ kepada wanita itu dalam mesej tersebut.
Pemegang Ijazah Pembangunan Sains dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan berasal dari Batu Pahat, Johor ketika dihubungi Bernama berkata tidak salah untuknya mendapatkan pengalaman bermula dari bawah dalam sektor pengurusan sisa itu.
Kredit gambar: BERNAMA“Ini menjadikan saya lebih memahami proses kerja dan akan lebih menghargai orang bawahan saya satu hari ini,” katanya yang berhasrat menimba pengalaman di republik ini selama tiga tahun dan bersyukur kerana mendapat restu daripada kedua orang tuanya.
Ditanya mengapa tidak melakukan kerja yang sama di Malaysia, Eday mengakui bahawa pendekatan serampang dua mata itu juga mengambil kira kelebihan mata wang Singapura yang lebih kukuh pada masa ini.
“Apa yang saya dapat di sini setiap hujung bulan, melebihi gaji eksekutif muda di Malaysia. Lagipun, untuk menjadi eksekutif di Malaysia, ia memerlukan sekurang-kurangnya pengalaman kerja selama tiga tahun.
“Sekiranya saya kembali ke Malaysia satu hari nanti, saya boleh menceritakan bahawa saya mempunyai pengalaman bekerja dalam syarikat asing juga,” katanya yang kini bekerja di SembWaste Pte Ltd, sebahagian daripada Sembcorp Group, sebuah kumpulan tenaga, pembangunan bandar dan marin terkemuka.
Menurut Eday, SembWaste bukanlah majikan pertamanya kerana di Malaysia beliau telah melakukan banyak kerja sambilan termasuk guru sementara di Batu Pahat, sambil berniaga kecil-kecilan berkaitan pakaian maskot.
Sementara itu, Lim yang merasakan bahawa Eday dan Yuamirul, 26, berhak mendapat ‘pekerjaan yang lebih memuaskan’ juga menitipkan nota tambahan dalam hantarannya menerusi media sosial itu.
“They are young, hardworking and most importantly, honest and humble. Also realised they are degree holders, speak and write well too. These two young gentlemen can do something that suit their calibre. Please share,” tulisnya.
(Mereka muda, rajin dan paling penting, jujur dan rendah hati. Saya juga mengetahui bahawa mereka pemegang ijazah, boleh bertutur dan menulis dengan baik. Kedua-dua pemuda ini boleh melakukan sesuatu yang sesuai dengan kebolehan mereka, sila kongsi (hantaran ini)).
Sumber: BERNAMA