Gara-gara gagal menjejaki lokasi teman lelaki, seorang wanita di Thailand tekad bertindak membakar sebuah rumah dipercayai milik rakan kekasihnya itu, lapor The Pattaya News.
Menurut The Pattaya News, pihak bomba dan polis menerima laporan mengenai insiden sebuah rumah terbakar di daerah Nong Prue, Bang Lamung di Chonburi pada 12:30 tengah malam semalam.
Difahamkan, dalam kejadian itu, api yang marak begitu pantas ‘membaham’ sebuah rumah papan dipercayai milik mangsa (rakan teman lelaki suspek), namun ia berjaya dipadam oleh anggota bomba.
Menurut pemilik rumah (mangsa), Parichat Yongpanya, 33, suspek didakwa masuk ke rumahnya dengan membawa sebotol minyak petrol sambil menelefon teman lelakinya ketika dia dan dua anak perempuannya sedang tidur.
Difahamkan, Parichat bersama anak perempuannya sempat menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan sebelum suspek bertindak melarikan diri dari rumah tersebut.
Gambar: The Pattaya NewsKata Parichat, teman lelaki suspek biasanya mengunjungi rumah mereka. Namun pada malam kejadian, kelibatnya langsung tidak kelihatan. Malah difahamkan, lokasi lelaki itu juga tidak tahu di mana.
Justeru menurut The Pattaya News, punca rumah Parichat dibakar adalah mungkin kerana suspek berasa kecewa tidak dapat menjejaki lokasi teman lelakinya pada malam kejadian tersebut.
Sehubungan itu, pihak polis Pattaya masih menjalankan siasatan mengenal pasti punca kebakaran rumah itu, serta turut akan menangkap suspek untuk memfailkan pertuduhan kes tersebut.
Bagaimanapun dalam masa sama, nama teman lelaki suspek yang didakwa hilang tanpa jejak dan khabar itu juga turut akan dirahsiakan oleh pihak polis bagi memastikan siasatan dapat berjalan lancar.
Gambar: The Pattaya NewsSumber: The Pattaya News