KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) — Perbicaraan rasuah isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang ditunggu-tunggu, telah ditangguhkan sehingga Rabu apabila beliau gagal hadir ke mahkamah pada hari pertama perbicaraan atas alasan kesihatan, yang menyebabkan pendakwaan mengemukakan permohonan agar beliau dipenjarakan bagi memastikan kehadirannya di mahkamah.
Ketika prosiding kes itu bermula pada pukul 2.13 petang, Rosmah tidak kelihatan di kandang tertuduh dan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram meneruskan kes dengan memperkenalkan timbalan pendakwa raya dan peguam yang terbabit dalam kes di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Peguam Datuk Jagjit Singh, yang mewakili Rosmah, memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir pada perbicaraan itu kerana tidak sihat dan telah diberikan sijil cuti sakit sehingga 8 Feb.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan alasan yang dicatat dalam sijil cuti sakit bertarikh 2 Feb itu kerana ia akan dilaporkan media dan berkata ia akan memalukan tertuduh.
Jagjit berkata beliau telah melakukan carian di laman sesawang Google yang memberikan butiran terperinci mengenai keadaan kesihatan anak guamnya dan ia boleh mengancam nyawa.
Mohamed Zaini mencelah dan berkata “Anda merujuk kepada Doktor Google di sini… ini hanyalah satu daripada gejala yang dihadapi beliau.”
Jagjit kemudian meminta agar perbicaraan sepanjang minggu ini ditangguhkan dan berkata pihaknya bersedia meneruskan kes itu pada minggu hadapan.
Bagaimanapun, Sri Ram membantah sekeras-kerasnya permohonan itu yang disifatkannya sebagai percubaan Rosmah pada saat-saat terakhir untuk tidak menghadiri perbicaraan.
Sri Ram berkata keadaan yang dihadapi Rosmah telah dialami ramai orang dan beliau sepatutnya mendapatkan rawatan sebelum perbicaraan kes itu bermula.
“Malah saya juga mengalami sakit leher dan pelbagai penyakit lain, begitu juga dengan ramai lagi di mahkamah ini. Beliau telah mengalaminya sejak lima tahun lepas seperti yang tertulis dalam laporan perubatan. Beliau sepatutnya berjumpa doktor minggu lepas,” katanya.
Membacakan sebahagian daripada laporan perubatan Rosmah dari sebuah hospital swasta, Sri Ram berkata Rosmah mengalami sakit leher teruk yang berulang-ulang dengan radikulopati anggota atas kiri dan beliau juga mengadu pening ketika berbaring dalam posisi salah.
“Beliau diketahui mengalami spondilosis servikal dan osteoartritis lutut sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Beliau turut didiagnosis dengan kekurangan adrenal yang kronik sejak lima tahun lepas dan telah dirawat oleh seorang doktor dari sebuah hospital swasta,” katanya.
Sri Ram berkata laporan perubatan juga menyatakan bahawa Rosmah hendaklah mengelak semua bentuk tekanan sehingga paras kortisol kembali normal, yang mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya satu hingga dua minggu.
Beliau juga berkata pendakwaan membantah permohonan untuk menangguhkan kes itu melainkan Rosmah telah diperiksa oleh doktor kerajaan.
Sri Ram turut meminta mahkamah membatalkan jaminan yang diberikan kepada Rosmah dan memohon agar beliau dipenjarakan bagi memastikan kehadirannya di mahkamah.
“Saya pasti jika beliau ditahan di penjara, beliau akan lebih berupaya untuk menghadiri prosiding mahkamah. Kami memohon agar jaminan beliau dibatalkan,” katanya.
Jagjit kemudian membalas kenyataan itu dan berkata pembelaan terkejut dengan pendirian pendakwaan berhubung perkara tersebut.
“Saya tidak pernah mendengar permohonan sedemikian dan saya terkejut dengan pendirian pendakwaan. Kita lakukan pendakwaan, kita lakukan pembelaan tetapi kita tidak menjadikan ia sebagai sesuatu yang bersifat peribadi,” katanya.
Mengenai isu sijil cuti sakit yang diperoleh dari sebuah hospital swasta, Jagjit berkata sijil cuti sakit anak guamnya adalah tulen dan tidak ada peruntukan undang-undang yang mengkehendaki seseorang untuk mendapatkan sijil cuti sakit yang disahkan doktor kerajaan.
Mohamed Zaini berkata mahkamah bersimpati dengan keadaan Rosmah namun beliau berdepan kekangan untuk menunda tarikh perbicaraan bagi tempoh yang lama kerana masanya amat berharga dan perlu mendengar kes-kes lain.
Mohamed Zaini berkata beliau akan membenarkan penangguhan selama dua hari dan menegaskan bahawa tiada penangguhan lanjut akan dibenarkan serta mengarahkan agar perbicaraan itu disambung semula pada Rabu.
Hakim itu mencadangkan kepada Jagjit bahawa anak guamnya boleh duduk di atas kerusi roda di dalam mahkamah dan beliau akan membenarkan masa rehat yang kerap semasa perbicaraan jika Rosmah berasa tidak sihat.
Pada 15 Nov 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.
Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui Rizal, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Perbuatan itu sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini, di antara Mac dengan April 2016.
Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1,5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 Sept 2017.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek yang sama di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.
Semua kes itu telah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Sumber: BERNAMA