PETALING JAYA, 6 Dis – Seorang gadis berusia 15 tahun mendakwa dirogol oleh enam lelaki penghantar makanan dalam satu kejadian di sebuah hotel di daerah ini pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian itu dilaporkan oleh kakak mangsa pada pukul 12 tengah hari pada hari sama sebelum tangkapan dibuat ke atas suspek yang berada di kawasan Kampung Sungai Kayu Ara ketika itu.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dalam kejadian rogol tersebut.
“Daripada enam suspek yang ditahan, empat daripadanya adalah kategori dewasa berumur lingkungan 20 hingga 22 tahun, manakala dua lagi kanak-kanak berumur 16 dan 17 tahun, masing-masing tidak bersekolah lagi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jelas Nik Ezanee, kesemua suspek bekerja sebagai penghantar makanan, dalam masa sama dua daripadanya mempunyai rekod kes jenayah dan dadah.
Akibat daripada itu, mangsa dilaporkan mengalami tekanan emosi dan kini sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 375 (B) Kanun Keseksaan.
Suspek boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun jika disabit kesalahan.


Sumber: Polis Daerah Petaling Jaya