Kerana bekerja di hospital, temujanji seorang jururawat dipercayai dibatalkan pada saat-saat akhir oleh sebuah salun rambut dipercayai di Ireland kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko, lapor Mirror UK.
Salun tersebut telah dikritik oleh ibu kepada jururawat tersebut dan menganggap bahawa polisi terhadap petugas barisan hadapan itu tidak adil.
Menurut wanita itu, anaknya sangat kecewa kerana pembatalan pada saat-saat akhir itu dan berkata bahawa petugas barisan hadapan yang lain mungkin masih tidak menyedari bahawa mereka tidak boleh menggunting rambut selagi pandemik masih lagi tidak surut.
“Dia membuat temujanji untuk pergi ke pendandan rambut itu pada minggu lalu. Dia gembira mendapat temujanji pada hari ini kerana ia merupakan hari cutinya.
“Pihak salun menghubunginya semalam dan bertanya beberapa soalan. Ketika mereka bertanya ‘adakah anda pernah berhubung dengan sesiapa yang mempunyai Covid’, dia menjawab tidak, ” kata wanita itu.
Anaknya menghubungi pihak salun itu semula dan memberitahu bahawa dirinya seorang jururawat yang bekerja di bahagian kecemasan dan pihak salun terus membatalkan temujanjinya kerana berkait dengan polisi mereka.
Sumber: Mirror