Ferrari 296 GTS (Gran Turismo Spider) Kini Dilancarkan, Hadir Dengan Jaminan Selama 7 Tahun
SEPANG – Pengedar dan pengimport rasmi kenderaan Ferrari di Malaysia, Naza Italia telah melancarkan model 296 GTS (Gran Turismo Spider) di Litar Antarabangsa Sepang, malam tadi.
Memetik akhbar Kosmo, Pengurus Besar Ferrari Malaysia, Damien Woo, Ferrari 296 GTS itu bermula pada harga RM1,448,000.
Jelasnya, model itu masih lagi mengekalkan trenkuasa plug-in hybrid (PHEV) yang terdiri daripada enjin V6 turbo berkembar 2.9 liter serta dilengkapi sistem transmisi automatik lapan kelajuan.

“Kombinasi itu membuatkan jentera itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 819 hp dan tork setinggi 740 Nm.
“Kelajuan maksimum jentera ini ialah 330 kilometer sejam (kmj) manakala kadar pecutan dari pegun hingga 100 kmj hanya dalam masa 2.9 saat,” katanya melalui akhbar Kosmo.
Beliau turut memberitahu bahawa model tersebut turut didatangkan dengan bentuk jaminan tujuh tahun atau jarak perbatuan sejauh 120,000 kilometer atau mana-mana yang capai dahulu.
Pada asasnya, Ferrari 296 GTS hampir menyerupai 296 GTB.

Faktor yang membezakan kedua-duanya ialah model GTS tidak mempunyai struktur bumbung kekal kerana telah ditukarkan kepada bumbung retractable hardtop (RHT).
Proses untuk membuka dan menutup bumbungnya pula dilaporkan hanya mengambil masa selama 14 saat sahaja.
Sumber: Kosmo!
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%