Feri Bawa 342 Penumpang Tenggelam
Sebuah feri yang membawa seramai 342 penumpang dilaporkan tenggelam pada pagi Isnin di selatan Filipina, mengakibatkan sekurang-kurangnya lapan orang terkorban.
Datuk Bandar Basilan, Arsina Laja Kahing-Nanoh, menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan bahawa setakat ini terdapat lapan kematian yang telah disahkan susulan kejadian melibatkan feri M/V Trisha Kerstin 3 itu.
Menurut beliau, operasi menyelamat masih diteruskan bagi mengesan penumpang lain yang mungkin masih hilang.
Sementara itu, pegawai penyelamat kecemasan Basilan, Ronalyn Perez, berkata kepada AFP bahawa sekurang-kurangnya 138 mangsa telah berjaya diselamatkan setakat ini.
"Cabaran utama kami ketika ini ialah jumlah pesakit yang ramai. Kami kekurangan kakitangan pada masa ini," katanya, sambil memaklumkan bahawa seramai 18 mangsa telah dibawa ke sebuah hospital tempatan untuk menerima rawatan.
Perez menjelaskan, feri berkenaan sedang dalam perjalanan dari Bandar Zamboanga menuju ke Pulau Jolo ketika insiden itu berlaku.
Usaha menyelamat mangsa feri tenggelam masih diteruskan
Dalam perkembangan berkaitan, Pengawal Pantai Filipina memaklumkan bahawa pihaknya sedang aktif berkoordinasi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat yang dikendalikan oleh stesen mereka di selatan Mindanao.
Untuk rekod, negara kepulauan yang mempunyai kira-kira 116 juta penduduk itu sering berdepan insiden tragis melibatkan feri yang beroperasi antara pulau-pulau.
Pada tahun 2023, lebih 30 orang dilaporkan terkorban apabila sebuah feri terbakar di selatan Filipina.