
Fenomena Gerhana Bulan Penumbra Dijangka Berlaku Jumaat Ini, Boleh Dilihat Di Seluruh Malaysia – MYSA
Rakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penumbra yang bakal muncul pada Jumaat ini, lapor Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
Menurut MYSA, fenomena yang bakal berlaku pada Jumaat ini adalah disebabkan kedudukan Bulan berada paling dekat dengan Bumi iaitu pada jarak 404,923km.
“Gerhana Bulan Penumbra ini merupakan deep penumbral eclipse dengan magnitud penumbra pada kali ini ialah 0.9655. Serta nilai Gamma adalah -1.0350 dengan tempoh gerhana penumbra adalah selama 258.3 minit,” tulis kenyataan itu.

Fenomena ini juga dilaporkan dapat dilihat secara keseluruhan di Afrika, Australia dan Asia termasuk Malaysia pada 5 Mei ini.
“Di Malaysia, fenomena Gerhana Bulan Penumbra ini berlaku mulai jam 23:14 pada 5 Mei 2023 dengan fasa penumbra.

“Gerhana maksimum, iaitu 96.55% daripada Bulan akan melintasi bayang penumbra Bumi pula berlaku pada jam 01:24 pagi pada keesokan hari. Ia akan berakhir pada jam 03:33 apabila Bulan keluar sepenuhnya dari bayang penumbra Bumi,” tambah kenyataan itu lagi.

Selain itu, fenomena gerhana pada kali ini juga akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyaksikannya walau di mana-mana sahaja lokasi pemerhatian anda.
Namun begitu, penampakan Gerhana Bulan Penumbra adalah amat sukar dilihat jika hanya menggunakan mata kasar. Ini kerana bayang-bayang penumbra Bumi adalah lebih samar jika dibandingkan dengan bayang-bayang umbra Bumi yang lebih gelap.
“Peluang untuk melihat kesan gerhana penumbra mungkin menjadi lebih baik jika kita melihat gerhana tersebut menggunakan peralatan bantuan.
“Alat bantuan seperti binokular, teleskop dan kamera serta membuat perbandingan kecerahan Bulan sebelum, semasa dan selepas gerhana berlaku,” tulis kenyataan itu memberi cadangan.
Terdahulu, hampir seluruh rakyat Indonesia dilapor dapat menyaksikan gerhana matahari yang berlaku sekitar jam 9.45 pagi tadi waktu Indonesia, lapor Kompas.com.
Difahamkan, fenomena alam itu terjadi berikutan gerhana matahari hibrid yang berlaku ke utara dari benua Australia.
Susulan gerhana itu jarang berlaku, ramai yang mengambil peluang untuk merakamkan kejadian tersebut dengan melihatnya di lokasi yang ditetapkan.
Menerusi perkongsian seorang wanita di Facebook, dia memuat naik gambar bayangan gerhana matahari yang terpancar di atas jalan raya, di Dili yang terletak di Timor Leste.
Sumber: Agensi Angkasa Malaysia