Majlis Perbandaran Klang (MPK) melalui Pasukan Tindakan Segera (Skuad Pantas) kini dalam persediaan 24 jam menghadapi fenomena air pasang besar dijangka berlaku tak lama lagi. Fenomena tersebut boleh mengakibatkan bencana banjir di Klang.
Menurut Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, pihaknya telah mewujudkan pos gerakan sementara di kawasan tertentu. Kawasan-kawasan ini termasuk di bahagian yang kerap mengalami bencana banjir.
Katanya, Skuad Pantas akan bertindak memberi bantuan awal dalam aspek keselamatan dan logistik jika berlaku kecemasan. MPK turut giat menjalankan kerja-kerja pembersihan parit di lapan kawasan di daerah itu sebagai persediaan.
“Jabatan penguatkuasa MPK turut memantau lokasi hotspot yang sering berlaku banjir melalui kamera litar tertutup (CCTV) MPK,” kata Ahmad Fadzli, memetik laporan Sinar Harian.
Tahun lalu, fenomena air pasang besar telah mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Klang dan Sabak Bernam terjejas. Malah paras air laut semasa fenomena tersebut berlaku di Selangor dilaporkan paling tinggi tahun lalu dalam tempoh 20 tahun.
Penduduk di kawasan berkenaan diminta berhati-hati dan bersedia untuk segala kemungkinan berlakunya fenomena ini. Sebarang aduan berkait bencana boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Pejabat Penguatkuasa di talian 03-3701095.
Sumber: Sinar Harian