
Ipoh : Felcra Berhad menafikan pihaknya terlibat dalam penganjuran Himpunan Warga Felcra 2.0 yang didakwa bakal diadakan di markas sebuah parti politik di Pasir Salak, malam esok.
Felcra Berhad menerusi kenyataan hari ini memberitahu pihak pengurusannya juga tidak pernah membuat apa-apa hebahan mengenai penganjuran himpunan itu seperti yang tersebar melalui penggunaan telefon pintar.
Selain itu, turut dijelaskan bahawa agenda forum di dalam program tersebut yang bertajuk ‘Isu Felcra dan Undang-undang’ adalah tanpa kehadiran panel rasmi daripada Felcra Berhad.
”Oleh itu, sebarang perbincangan tersebut adalah tidak mengikut prosedur dan tatacara syarikat serta tidak melambangkan kenyataan rasmi dari pengurusan syarikat,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak pengurusan Felcra Berhad turut menegaskan bahawa aspek keharmonian dalam kalangan peserta dan pengurusan sentiasa dipelihara.
”Jika wujud sebarang ketidakpuasan hati ia perlu diselesaikan dengan menggunakan kaedah musyawarah dengan menggunakan platform rasmi syarikat,” katanya.
Sumber : Bernama