FELCRA Arah Staf Bekerja Dari Rumah Selepas Seorang Ahli Lembaga Pengarah Disahkan Positif Covid-19

Nur Adnin

SEORANG ahli lembaga pengarah syarikat FELCRA Berhad disahkan positif COVID-19 pagi tadi.

Ketua pegawai eksekutifnya dalam satu kenyataan akhbar berkata, kali terakhir beliau berada di dalam bangunan Wisma FELCRA adalah pada 25 Februari lalu.

“Buat masa ini, keadaan terkawal dan tiada simptom ditemui dalam kalangan staf.

“Sehubungan dengan itu, pihak syarikat sedang dan telah berusaha mengambil langkah-langkah berwaspada dalam memastikan tahap kesihatan dan persekitaran kondusif yang maksimum di Wisma FELCRA,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, semua aktiviti dan operasi di peringkat ibu pejabat telah dihentikan serta-merta bermula hari ini, 4 Mac 2020 hingga Jumaat, 6 Mac 2020 bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dibuat secara menyeluruh.

“Untuk itu, semua staf di ibu pejabat telah diarahkan untuk bekerja dari rumah (work from home).

“Semua staf juga dinasihatkan untuk tidak ke luar daerah supaya mudah untuk dihubungi,” jelasnya.

Bagaimanapun, semua operasi di peringkat wilayah dan kawasan diteruskan seperti biasa dan ibu pejabat akan sentiasa berkomunikasi dengan pihak wilayah serta kawasan supaya operasi ladang dan kilang tidak terjejas.

Sumber: Twitter FELCRA Berhad