
“Fan Belt” Bunyi Tikus? Ini Risiko Yang Menanti Kereta Anda
Kereta merupakan kenderaan peribadi yang dimiliki sekurang-kurangnya sebuah bagi setiap isi rumah di Malaysia.
Ia bukan sekadar alat pengangkutan, malah sudah menjadi keperluan penting dalam kehidupan seharian masyarakat, sama ada untuk berulang-alik ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah ataupun melakukan pelbagai urusan harian.
Bagi kebanyakan keluarga, memiliki kereta bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan asas demi menjamin kelancaran gaya hidup moden masa kini.
Setiap pemilik kereta pastinya menginginkan agar kereta masing-masing sentiasa berada dalam keadaan yang baik, malah boleh digunakan sepanjang masa tanpa sebarang masalah.
Walau bagaimanapun, ramai pemandu mungkin pernah mendengar bunyi mencurigakan atau bunyi pelik pada enjin kereta tetapi menganggapnya tidak serius.
Untuk makluman pembaca, tip berkenaan diambil daripada perkongsian mekanik menerusi TikTok @altimatautogarage.
Antara punca yang sering dikaitkan dengan masalah ini ialah kerosakan atau kehausan kipas tali (fan belt), iaitu komponen penting yang berfungsi menggerakkan stereng, kipas penyejuk, pam air, alternator dan sistem lain dalam enjin.
Sekiranya fan belt longgar atau putus, sistem penyejukan tidak dapat berfungsi dengan baik, lalu meningkatkan risiko enjin mengalami kerosakan serius.
Bunyi-bunyi pelik pada enjin kereta tidak wajar dipandang ringan kerana ia boleh menjadi petanda awal kepada masalah yang lebih besar.
@altimatautogarage berkata tali kipas ini mempunyai jangka hayat tertentu dan disarankan untuk diganti setiap 60,000 hingga 100,000 kilometer perjalanan bergantung kepada jenis kereta serta corak pemanduan.
Mengabaikan penggantian boleh menyebabkan tali kipas haus, longgar atau putus, sekali gus mengundang risiko enjin menjadi panas melampau (overheat) serta kegagalan sistem lain yang penting.
“Sekiranya anda melihat rekahan pada tali kipas, anda perlu menukarkannya secepat mungkin,” kata mekanik itu.
Difahamkan, enjin hanya memerlukan sekitar 10 hingga 15 minit untuk menjadi terlalu panas sekiranya tali kipas terputus ketika kenderaan sedang dipandu.
Menurut @altimatautogarage, keadaan ini juga menyebabkan pam air gagal mengedarkan cecair penyejuk serta kipas penyejuk tidak dapat berfungsi dengan baik.
Sumber: @altimatautogarage via TikTok