boss james fake akaun
Tangkap Layar FB

“Fake Akaun, Scammer, Bukan Facebook Saya,” Jangan Terpedaya, Boss James Dedah Hanya Miliki Satu Akaun FB

Nurhanis

“Fake Akaun, Scammer, Bukan Facebook Saya,” Jangan Terpedaya, Boss James Dedah Hanya Miliki Satu Akaun FB

Sering cipta kandungan mengenai motosikal, seorang lelaki dikenali Boss James semakin dikenali ramai kerana banyak berkongsi mengenai ilmu permotoran kepada orang awam.

Boss James turut dilabel sebagai orang yang memberi pengaruh kepada orang awam kerana sering berkongsi mengenai nasihat serta nilai-nilai murni yang perlu diterapkan dalam menjadi seorang ahli perniagaan.

Bagaimanapun reputasi Boss James yang sangat terkenal dan diikuti ramai pengikut di media sosial sedikit ‘terganggu’ dengan kemunculan individu-individu lain yang menyamar menggunakan namanya.

Difahamkan, ada segelintir pihak mahu menjadi dirinya sehingga sanggup mencipta akaun palsu menggunakan nama ‘Boss James’ untuk menipu orang ramai supaya mereka terpedaya dan menyerahkan duit sekiranya ‘dia’ memerlukan wang.

Perkara itu diambil serius oleh Boss James sendiri dan beliau membuat hantaran di Facebook mengesahkan akaun Facebook ‘Boss James’ palsu itu bukan akaun miliknya yang sebenar.

Fake akaun, scammer, bukan Facebook saya. Penipuan salah gunakan nama dan gambar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam masa sama Boss James turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang kandungan yang dimuat naik termasuklah giveaway yang dibuat oleh akaun palsu itu.

“Harap semua jangan tertipu okay, birthday saya bukan Oktober.

“Jangan bagi butir-butir peribadi dan buat bayaran tanpa dapat pengesahan daripada mesej di Instagram saya okay,” ujarnya lagi.

Katanya, orang ramai perlu merujuk halaman rasmi miliknya dengan nama Boss James di setiap platform media sosial.

“Rujuk page rasmi saya di Instagram, Facebook, Youtube dan Tiktok dengan nama ‘Boss James,” tambah Boss james.

Buat ‘giveaway’ tarik pengikut

Tangkap Layar FB

Terdahulu tular di media sosial, akaun palsu ‘Boss James’ membuat hantaran konon-konon menyambut ulang tahun kelahirannya dan dalam masa yang sama turut membuat giveaway istimewa kepada insan terpilih.

“Untuk meraikan hari lahir @Boss James yang ke-35, kami menghantar iPhone 14 Pro kepada semua orang yang berkongsi dan mengucapkan ‘tahniah’ sebelum 31 Oktober 2022,” kata kapsyen di laman Facebook palsu itu.

Hantaran yang dibuat oleh akaun palsu itu telah meraih sebanyak 4,100 tanda suka, 8,000 komentar serta 2,900 perkongsian setakat artikel ini ditulis.

Bagaimanapun hal itu merisaukan Boss James kerana ia mendapat perhatian ramai ekoran menggunakan taktik giveaway sebagai permulaan untuk mengambil hati mereka sebelum ‘belang’ sebenar penipuan terbongkar.

Tanpa berfikir lama, Boss James menyanggah dan mengesahkan seseorang individu telah berpura-pura menjadi dirinya dan meminta orang ramai untuk tidak memberikan wang kepada akaun itu sekiranya diminta.

Sehubungan itu, hantaran di Facebook rasmi Boss James membuatkan ramai yang sedar bahawa mereka sudah tertipu dengan akaun palsu itu.

Hantaran itu turut mengingatkan orang ramai bahawa Boss James hanya mempunyai satu akaun untuk satu platform di media sosial.

Sumber: Facebook / Boss James