
PARIS, 4 September – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah UNESCO, TYT Xing Qu pada Selasa.
Dalam pertemuan tersebut Fadhlina telah menyatakan hasrat Malaysia untuk berada dalam kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2025 hingga 2029.
Ia selaras dengan pengalaman, komitmen, imej dan reputasi baik Malaysia selaku negara anggota yang memainkan peranan aktif dalam menerajui program-program yang dilaksanakan di peringkat serantau dan global.
TYT Xing Qu menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas komitmen berterusan negara untuk memperkukuhkan agenda UNESCO. Perbincangan antara kedua-dua pihak turut berkisar tentang agenda pendidikan untuk semua, pemerkasaan bidang Sains dan Teknologi serta etika dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).
Fadhlina yang mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 telah turut mengambil bahagian dalam sesi perbincangan meja bulat bersama-sama dengan pemimpin pendidikan antarabangsa yang lain pada Isnin lalu.

Beliau telah menyatakan komitmen Malaysia untuk memperkasakan teknologi AI menerusi Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 serta pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD). Menurut Fadhlina, potensi teknologi AI perlu terus diterokai untuk menyokong matlamat pendidikan dan tanpa meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan.

Fadhlina turut berkongsi pengalaman dengan peserta mengenai inisiatif Malaysia yang sedang giat melaksanakan Reformasi Pendidikan, Kurikulum Persekolahan 2027 serta gerak kerja bagi pelan pembangunan pendidikan yang baharu.