
PUTRAJAYA, 1 September – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 di Ibu Pejabat United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO), Paris, Perancis dari 2 hingga 4 September 2024.
Penyertaan Malaysia dalam Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 adalah bertepatan dengan hala tuju pendidikan negara yang memberi fokus kepada tranformasi pendidikan digital.
Ia juga adalah wadah yang dapat menggalakkan perkongsian amalan terbaik dalam pendidikan digital dan pertukaran pendapat serta maklumat selain meningkatkan keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Fadhlina, selaku Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), turut akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah UNESCO, TYT Xing Qu dan secara rasmi mengumumkan pencalonan Malaysia untuk bertanding bagi kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO Penggal 2025 hingga 2029.
Malaysia bersedia untuk bersaing mendapatkan kedudukan dalam Lembaga Eksekutif UNESCO bagi membawa misi pertumbuhan nasional yang inklusif, melindungi alam sekitar, dan mempromosikan keadilan sosial, bersandarkan kepada prinsip Membina Masa Depan Yang Berbeza (Build Forward Differently-BFD).
Malaysia beriltizam melaksanakan beberapa langkah penting untuk merealisasikan objektif BFD melalui kompetensi UNESCO dalam bidang seperti pendidikan, sains semula jadi, sains dan sains sosial, kebudayaan, dan inisiatif kerjasama dengan semua pihak.
Tindakan strategik ini dapat memberi sumbangan signifikan kepada impak kelestarian, inklusiviti, mencipta peluang, dan keamanan global.