Etika Memperkenalkan Langkah Hijau Untuk Sekolah Di Lembah Klang Dengan Pelancaran “Lets Rescue Pet Bottles”

syafiq halim

KUALA LUMPUR, 30 OGOS 2022 – Semakin jelas bahawa pencemaran kini menjadi salah satu isu utama yang memberi kesan kepada alam sekitar dan banyak syarikat telah memperkenalkan penyelesaian dengan harapan dapat membuat perbezaan yang signifikan, dan salah satu daripadanya adalah melalui kitar semula. Berpegang teguh kepada objektif tersebut, Etika Group of Companies (“Etika”), salah satu pengeluar minuman halal terkemuka di Malaysia, berganding bahu dengan Hiroyuki Industries (M) Sdn Bhd, pengeluar Jalur Polypropylene (PP) dan Polyester (PET) berkualiti tinggi dari Jepun untuk melancarkan kempen “Lets Rescue PET Bottles” semasa program tiga hari Kempen Kepenggunaan yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di MyTown Kuala Lumpur.

Inisiatif hasil kolaborasi ini dilancarkan oleh Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, akan berlangsung selama setahun (dari September 2022 – Ogos 2023) untuk mewujudkan persekitaran yang lebih baik dan sihat dengan mengumpul dan mengitar semula botol PET yang telah diguna untuk memberi nafas baharu kepada bahan boleh dikitar semula.

Santharuban Thurai Sundaram, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etika (Malaysia, Singapura dan Brunei) berkongsi bahawa syarikat itu mengutamakan kelestarian dan berusaha untuk menyediakan kualiti hidup yang lebih baik demi generasi sekarang dan akan datang yang selaras dengan misi mereka untuk memperkayakan kehidupan sekeliling.

“Oleh kerana Etika dan Hiroyuki berkongsi matlamat pembangunan mampan yang sama, kami yakin bahawa kerjasama ini akan meletakkan asas yang kukuh dalam memelihara alam sekitar. Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat mengurangkan penggunaan minyak mentah, gas asli, pelepasan karbon dioksida, serta mengalihkan sisa plastik daripada alam sekitar dan mewujudkan ekonomi kitaran yang mampan,” kata Santharuban.

Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi juga menyatakan bahawa, program ini menekankan peranan pengguna dalam pengurusan sisa pepejal dan kepentingan proses kitar semula dalam pengurusan sumber dan alam sekitar, tepat dengan matlamat yang telah digariskan di bawah pemerkasaan pengguna KPDNHEP dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Kerjasama antara KPDNHEP dan entiti korporat Hiroyuki-Etika adalah selaras dengan semangat ‘kolaborasi kerajaan’ dalam usaha memupuk kesedaran pengguna melalui kelab-kelab pengguna di Sekolah dan Gerakan Pengguna Siswa di IPT di seluruh negara terutamanya di Lembah Klang,” ujar Yang Berhormat.

Untuk terus menggalakkan aktiviti kitar semula dan memberi impak positif kepada alam semula jadi, Etika dan Hiroyuki bekerjasama dengan 270 sekolah di Lembah Klang untuk menyertai sebuah pertandingan yang menarik; selain mengumpul botol bersih sebanyak mungkin, pelajar sekolah yang mengambil bahagian juga dikehendaki menyerahkan poster digital bertemakan PET Bottle Recycle dan E-Book yang menerangkan kepentingan menjaga alam sekitar. Sekolah yang mengambil bahagian juga akan menerima RM0.50 sekilogram untuk botol PET yang dikumpulkan pada setiap bulan.

Tiga sekolah dengan koleksi botol PET terbanyak akan menerima hadiah berikut:

  • Pemenang hadiah pertama: RM5,000

  • Pemenang hadiah kedua: RM3,000

  • Pemenang tempat ketiga: RM2,000

Selain itu, lima sekolah terbaik juga berpeluang melawat kilang Hiroyuki Industries di Johor Bahru untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai nilai kitar semula dan pengurusan sisa sambil mendapat pengalaman secara langsung tentang bagaimana syarikat itu mengeluarkan produknya. Pemenang-pemenang ini akan diumumkan pada September 2023.

“Setiap perbuatan yang kecil mampu membantu untuk melindungi alam sekitar, oleh itu ia sangat penting untuk pupuk tabiat hijau ini sejak kecil. Kelestarian adalah inisiatif berterusan yang kami harap bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada alam sekitar tetapi juga mendidik generasi masa depan untuk menjadikannya amalan harian dalam membentuk kehidupan yang lestari,” kata Santharuban.

Etika menggalakkan semua sekolah dan institusi pengajian tinggi di Lembah Klang untuk mengambil bahagian dalam membuat perubahan persekitaran yang positif dengan mendaftar di https://forms.gle/QPS4K2Lqv672SAU98.

Untuk maklumat lanjut mengenai Etika dan usaha kelestariannya, sila layari www.etikaholdings.com.