TAWAU, 24 Dis (Bernama) — Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menahan dua lelaki di sebuah rumah di Kampung Hidayat Batu 4 di sini, semalam kerana disyaki memiliki dan menyembunyikan rokok yang tidak dibayar duti kastam.
Komander Esscom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata lelaki berusia 50 dan 55 tahun itu ditahan bersama 10,160 bungkus rokok seludup pelbagai jenis bernilai lebih RM149,335 dalam satu serbuan pada 2.30 pagi.
“Pemeriksaan di dalam bilik stor tingkat bawah rumah itu membawa penemuan 8,630 bungkus rokok disembunyikan manakala 1,530 bungkus rokok lagi disimpan di sebuah bilik di tingkat satu rumah, kesemua rokok ini dipercayai tidak dibayar cukai kastam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kedua-dua lelaki berkenaan serta barang rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, Ahmad Fuad menasihatkan masyarakat khususnya komuniti pesisir pantai agar memberikan kerjasama termasuk menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan sekali gus melaporkan jenayah rentas sempadan.
Katanya, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Esscom di talian 089-863181 jika terdapat kes melanggar undang-undang negara termasuk penyeludupan, kes curi dan rompak.
–BERNAMA