pemain Toulouse lgbt
Kredit: BBC

Enggan Pakai Warna Promosi LGBT, Pemain Toulouse Terkeluar Dari Perlawanan

Nurhanis

Enggan Pakai Warna Promosi LGBT, Pemain Toulouse Terkeluar Daripada Perlawanan

Beberapa pemain Muslim pasukan bola sepak Toulouse dilapor disisihkan daripada perlawanan Ligue 1 menentang Nantes pada Ahad selepas bertindak enggan memakai warna yang mempromosikan LGBT pada baju, lapor BBC.

Dalam satu kenyataan, pemain terbabit menyatakan rasa tidak bersetuju dengan perkara yang terkait, seperti imej mereka dengan warna pelangi yang dipercayai berkaitan dengan LGBT.

Perkara itu membuatkan Toulous mengetepikan pemain-pemain tersebut daripada perlawanan itu sebagai tanda penghormatan mereka.

“Sambil menghormati pilihan yang dibuat oleh pemain dan selepas banyak pertukaran, Toulouse telah memilih untuk mengeluarkan pemain tersebut daripada perlawanan,” kata kenyataan itu

Difahamkan pemain Ligue 1 dan 2 mempunyai nombor berwarna pelangi pada baju mereka dan memerlukan pemain untuk bergambar dengan sepanduk sebelum perlawanan hujung minggu ini.

Manakala, jurulatih dan pegawai memakai lilitan berwarna pelangi di lengan mereka.

Penyerang Toulouse dan Maghribi Zakaria Aboukhlal berkata dia membuat keputusan untuk tidak mengambil bahagian dalam perlawanan menentang Nantes.

“Hormat adalah nilai yang saya junjung dengan tinggi. Ia merebak kepada yang lain tetapi ia juga merangkumi penghormatan terhadap kepercayaan peribadi saya sendiri.

“Oleh itu, saya tidak percaya saya adalah orang yang paling sesuai untuk menyertai kempen itu,” katanya di media sosial miliknya.

Satu malapetaka

Sementara itu, jurulatih pasukan bola sepak Brest Eric Roy berkata kempen yang menentang homofobia pada hari tersebut adalah satu malapetaka.

“Semua orang bebas untuk menyatakan pendapat masing-masing. Secara peribadi, saya tidak mempunyai masalah dengannya.

“Tetapi anda boleh lihat ada pemain yang menghadapi masalah dengannya,” ujarnya.

Jelasnya, penganjur tidak sepatutnya menjadualkan kempen itu pada hari tersebut.

Ini kerana terdapat beberapa pemain sedang berjuang untuk mengelak penyingkiran.

Eric Roy berkata kempen itu boleh diadakan pada bulan Disember atau September.

Terdahulu, Brest menang 1-0 apabila menjadi tuan rumah menentang Auxerre pada Ahad dan mendahului empat mata daripada pasukan seperjuangan mereka.

Walaupun Nantes kekal di zon penyingkiran, keputusan seri dengan Toulouse pada Ahad membuatkan mereka kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Auxerre.

Difahamkan, persembahan (bertema pelangi) itu adalah sebagai sokongan terhadap Hari Antarabangsa Menentang Homophobia, Transphobia dan Biphobia pada 17 Mei.

Sebelum ini, pemain tengah Everton, Idrissa Gueye turut enggan bermain untuk Paris St-Germain apabila kempen itu dibuat oleh Ligue 1 pada musim lalu.

Sumber: BBC

BACA: Malaysia Jadi Inspirasi Kelab Bola Sepak Amatur Di Uruguay