Gara-gara tidak mahu meneruskan perlawanan dengan ‘seterunya’ dari Israel dalam temasya sukan Olimpik Tokyo 2020, seorang atlet judo Algeria terpaksa dihantar pulang.
Keengganan Fethi Nourine, 30, bersama jurulatihnya, Amar Benikhlef menyebabkan mereka berdua digantung kurang dari tempoh 24 jam setelah acara pembukaan rasmi kejohanan antarabangsa itu yang berlangsung pada Jumaat.
Kedua-dua mereka mendedahkan punca penarikan diri dari perlawanan adalah kerana didakwa mahu memberi sokongan kepada perjuangan Palestin seperti yang sedang berlaku kini.
“Kami tidak bernasib baik dengan keputusan ini. Kami dijadualkan bertemu dengan pihak lawan dari Israel dan sebab itulah kami tarik diri.
“Kami telah membuat keputusan yang tepat,” kata mereka, memetik laporan Metro.
Pada pembukaan perlawanan judo sebelum itu, Fethi telah menumpaskan lawannya dari Sudan, Mohamed Abdalrasool bagi kategori perlawanan 73 kilogram.
Namun kemenangan itu membawanya ke peringkat seterusnya sehingga bertemu dengan lawan dari Israel, Tohar Butbul.
Persatuan Judo Antarabangsa (IFJ) memutuskan untuk menggantung mereka berdua buat sementara dan berkemungkinan mereka turut akan menghadapi sekatan di kejohanan lain.
Tegas IFJ, keputusan Fethi dan Amar yang sanggup menarik diri hanya disebabkan isu tersebut ternyata sangat bertentangan dengan falsafah persatuan itu sendiri.
Dalam masa sama, Jawatankuasa Olimpik Algeria dilapor menarik semula penyertaan mereka serta akan menghantar mereka pulang ke tanah air.
Sumber: Metro