Seorang budak lelaki berusia 12 tahun dari Belanda dilaporkan telah memenangi satu kes mahkamah terhadap bapanya sendiri yang antivax gara-gara enggan membenarkannya untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Budak tersebut difahamkan mahu mendapatkan suntikan vaksin tersebut kerana ingin menziarahi neneknya yang sedang tenat.
Dalam kes yang dilaporkan pertama kali terjadi di Belanda, mahkamah telah memutuskan bahawa kanak-kanak tersebut berhak untuk mendapatkan vaksin setelah perdebatannya berkenaan suntikan vaksin tersebut dapat mengurangkan peluang untuk dia menjangkiti ibunya diterima mahkamah.
Kanak-kanak yang berumur 12 hingga 17 tahun di Belanda dilaporkan berhak memilih untuk divaksin namun perlu kebenaran daripada kedua ibu bapa mereka terlebih dahulu.
Dalam kes ini, ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut difahamkan telah bercerai dan ibunya telah bersetuju untuk membenarkannya divaksin.
Hakim dari Bart Tromp dari Mahkamah Daerah Groningen telah membenarkan kanak-kanak itu untuk divaksin kerana ‘mengutamakan kepentingan divaksin’.

Dia memerintahkan agar kanak-kanak lelaki itu diberikan suntikan vaksin secepat mungkin kerana alasannya lebih kukuh daripada usul rayuan yang dinyatakan oleh peguam bapanya.
Kenyataan daripada mahkamah menyatakan bahawa bapa kepada lelaki itu tidak mempercayai vaksin serta ujian untuk koronavirus. Oleh yang demikian, dia tidak membenarkan anaknya itu mendapatkan suntikan vaksin tersebut.
“Budak lelaki itu ingin divaksin kerana dia tidak mahu dijangkiti dan ingin mengelakkan daripada menjangkiti orang lain,” kata kenyataan dari mahkamah.
“Selain dari itu, neneknya kini sedang menderita barah paru-paru dan sedang tenat.”
“Budak itu cuma mahu meluangkan masa selama yang mungkin dengan neneknya itu sahaja, tetapi dia tidak divaksin. Dia takut bahawa dia akan menjangkiti neneknya dan sekiranya itu berlaku, keadaan neneknya akan menjadi lebih parah,” ujar kenyataan tersebut.
Kanak-kanak berkenaan difahamkan sukar untuk membuatkan bapanya itu faham dan berasa bahawa permintaannya itu tidak diendahkan.
Bapanya berpendapat bahawa vaksin masih lagi dalam fasa ujian dan menyatakan akan mendatangkan risiko yang buruk terhadap organ pembiakan dalam jangka masa yang lama.
Namun begitu, hakim menyatakan bahawa tidak ada bukti saintifik yang boleh menyokong pendapat tersebut.
Undang-undang negara Belanda menyatakan bahawa hakim berkuasa membuat keputusan demi kepentingan yang terbaik untuk kanak-kanak sekiranya ibu bapa mereka tidak dapat bersetuju berkenaan sesuatu perkara.
Skeptisisme vaksin adalah masalah yang kian meruncing di Belanda.
Difahamkan bahawa ada pemimpin dari salah satu parti sayap kanan yang menyokong pandangan anti vaksin di dewan parlimen negara itu.
Tunjuk perasaan dijangka akan berlaku pada hujung minggu ini apabila kerajaan Belanda memperkenalkan pas COVID yang membenarkan orang ramai memasuki restoran dan bar.

Sumber: Daily Mail