enam planet sederet februari 2026
Gambar hiasan. Kredit: NASA/Alyssa Lee

Enam Planet 'Sederet', Ini Tarikh Penting Fenomena Langit Februari 2026

Azizah Najib

Fenomena enam planet sederet Februari 2026 menjadikan bulan tersebut antara tempoh penting dalam kalendar astronomi, diiringi beberapa peristiwa langit yang jarang berlaku direkodkan.

Fenomena angkasa sering menampilkan pergerakan planet dan objek cakerawala yang mengagumkan. Kejadian seperti penjajaran planet dan konjungsi menghasilkan pemandangan langit yang jarang dapat kita saksikan.

Sebelum kemuncaknya pada 28 Februari, beberapa fenomena menarik bakal berlaku melibatkan konjungsi, iaitu kedudukan dua planet yang hampir rapat di langit.

Biarpun tidak semua fenomena ini dapat dilihat dengan jelas, namun sebahagiannya masih boleh diperhatikan dengan mata kasar, bergantung kepada keadaan cuaca dan lokasi pemerhati.

Kronologi fenomena langit sebelum enam planet 'sederet' dalam Februari 2026

Beberapa fenomena astronomi luar biasa bakal mewarnai langit sebelum penjajaran enam planet. Berikut SK kongsikan tarikh-tarikh penting yang berkaitan.

16 Februari: Konjungsi Zuhal dan Neptun

Fenomena terawal berlaku pada pertengahan bulan ini. Ketika ini, planet Zuhal dan Neptun berada dalam kedudukan yang sangat hampir antara satu sama lain.

Fenomena ini merupakan konjungsi ketiga dan terakhir bagi kedua-dua planet ini dalam buruj Pisces yang bermula pada Mei 2025 lalu. Planet Zuhal dan Neptun tidak akan berkongsi longitud cakerawala yang sama lagi sehingga Februari 2132, iaitu 106 tahun akan datang.

Bagi menyaksikan fenomena ini, anda perlu menggunakan teropong atau teleskop berikutan planet Neptun yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

19 Februari: Utarid berada paling jauh dari Matahari, jadi planet ini akan dapat dilihat selepas Matahari terbenam di langit Barat di Malaysia.

25 Februari: Penjajaran enam planet semakin ketara

27 Februari: Konjungsi Zuhrah dan Utarid, penjajaran enam planet menghampiri kemuncak

Ketika ini, kedudukan planet Zuhrah dan Utarid berada hampir rapat dengan jarak sekitar 4°30′. Bukan itu sahaja, Zuhrah yang berada dalam buruj Aquarius menjadi titik yang paling terang di langit.

Di atas Zuhrah, planet Zuhal akan dapat dilihat dengan warna keemasan, juga kelihatan menonjol berbanding bintang-bintang berdekatan dengan cahaya yang kekuningan.

Berhampiran Zuhal, Neptun pula dapat dilihat dengan menggunakan teleskop atau teropong.

Uranus dapat dilihat dengan kedudukan yang lebih tinggi dan ke arah selatan. Jika tiada pencemaran cahaya, planet ini mungkin dapat dilihat dengan mata kasar. Namun, penggunaan teropong akan lebih memudahkan anda.

Akhir sekali, anda akan dapat melihat Musytari, planet paling terang di langit malam itu. Musytari dan Bulan akan berada begitu hampir, dengan jarak 3°54′.

28 Februari: Kemuncak penjajaran planet besar Utarid, Zuhrah, Neptun, Zuhal, Uranus dan Musytari

Bagi mengenal pasti sama ada 'cahaya' yang ada di langit merupakan planet, terdapat dua perkara yang perlu anda tahu.

Pertama, cahaya planet tidak berkelip seperti cahaya bintang. Kedua, planet Zuhrah dan Musytari selalunya merupakan cahaya paling terang di langit.

Penjajaran Planet Lain Bakal Berlaku Dalam Tahun 2026

Sebagai pengetahuan, terdapat beberapa lagi siri penjajaran planet yang bakal berlaku dalam tahun ini.

Pada 18 April, penjajaran kecil berlaku antara Zuhal, Marikh, Utarid dan Neptun, manakala pada 12 Jun, akan berlaku penjajaran mini Utarid, Musytari dan Zuhrah.

Penjajaran besar enam planet akan berlaku sekali lagi pada 12 Ogos, melibatkan Musytari, Utarid, Marikh, Uranus, Zuhal dan Neptun. Akhir sekali, penjajaran kecil bakal berlaku antara Utarid, Zuhrah, Marikh dan Musytari pada 14 November.

Tahun hadapan, satu lagi penjajaran besar bakal berlaku pada 2 Julai, melibatkan lima planet iaitu Utarid, Zuhrah, Zuhal, Uranus, dan Neptun.

Jenis Penjajaran Planet

Sebenarnya, terdapat empat jenis penjajaran planet yang berlaku dalam Sistem Solar kita. Penjajaran planet mini melibatkan tiga planet, manakala penjajaran planet kecil melibatkan empat planet.

Penjajaran planet besar pula bukan bermaksud penjajaran yang melibatkan planet bersaiz besar. Istilah ini bermaksud penjajaran yang besar, melibatkan lima hingga enam planet.

Jika semua planet dalam Sistem Solar sejajar, fenomena ini dipanggil penjajaran planet penuh. Kadang kala, Pluto juga tidak terkecuali dalam fenomena ini.

Jika hanya dua planet yang berhampiran, fenomena ini tidak dipanggil sejajar, tetapi digelar konjungsi. Selalunya, peristiwa ini berlaku sebelum kejadian penjajaran planet.