KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) — Seramai enam ahli Jemaah Tabligh (JT) rakyat Malaysia tiba di tanah air hari ini dari New Delhi, India, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.
Beliau berkata kesemua mereka tiba di tanah air dengan menaiki penerbangan Air India Express (IX1122) dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.02 petang hari ini.
“Dengan kepulangan enam JT ini, masih terdapat seramai 13 JT rakyat Malaysia di India yang masih menunggu diberikan kebenaran untuk pulang ke Malaysia atau masih menjalani prosedur perundangan di Bihar, India,”katanya dalam satu kenyataan hari ini. .
Beliau berkata perwakilan-perwakilan Malaysia di India akan meneruskan usaha dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menyelaras kepulangan mereka.
Kamarudin berkata sehingga kini Kementerian Luar telah membawa pulang 176 daripada 189 orang ahli JT yang berada di India.
Beliau berkata sebelum ini seramai 170 ahli JT rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusian dan Bencana (HADR) iaitu pada 18, 22, 29 Julai, 26 Ogos, 18 Sept, 9, 14, dan 23 Okt.
Menurut beliau semua JT yang dibawa pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesen Kuarantin (QS) sejajar dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Kementerian Luar juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan terlibat terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas kerjasama dan komitmen menjayakan misi membawa pulang JT rakyat Malaysia di India.
“Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan mereka,” katanya.
— BERNAMA