MELAKA, 31 Mac (Bernama) — Enam khemah peniaga musnah dipukul ribut dalam kejadian kira-kira 10.15 malam tadi di Uptown Jebat Street, Klebang di sini.
Menceritakan kejadian mencemaskan itu, seorang peniaga, Muhamad Syahir Abd Rahman, 32, berkata keadaan angin kencang berserta hujan lebat berlaku sangat pantas antara lima hingga tujuh minit turut menerbangkan khemahnya dan peniaga lain di situ.
Peniaga pakaian itu berkata tiada siapa yang dapat menyelamatkan barangan jualan mereka kerana hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri dalam situasi panik tersebut.
“Keadaan berlaku sangat pantas, tiba-tiba kami terdengar jeritan dan suara wanita menangis, ketika tiba sahaja di khemah milik saya ia telah habis musnah dan tidak berjaya menyelamatkan barang jualan yang dianggarkan kira-kira RM10,000.
“Kebanyakan baju-baju ini baharu sahaja dibawa masuk ke kedai untuk jualan pada Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri nanti tetapi kesemuanya turut rosak dan ada juga diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang saksi, Irwan Khamis, 37, berkata ketika kejadian ada yang sedang menjala di pantai berhampiran melihat ribut datang secara tiba-tiba namun mereka sempat melarikan diri.
Katanya sewaktu kejadian itu beliau melihat khemah dan barang-barang peniaga di situ diterbangkan angin serta bertaburan di merata-rata tempat.
“Saya nampak mereka menjerit dan ada peniaga memegang khemah cuba selamatkan gerai mereka, waktu itu memang agak huru-hara namun mujurlah ia tidak berlarutan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu tengah malam tadi dan bergegas ke lokasi.
“Difahamkan ada mereka yang mengalami kerugian ribuan ringgit dan kerajaan negeri akan cuba membantu peniaga yang terjejas selain meminta pihak penganjur di situ agar segera mendirikan khemah baharu untuk membolehkan mereka kembali berniaga.
“Kami juga akan segera memanjangkan perkara itu kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin untuk membantu peniaga yang terlibat,” katanya.
— BERNAMA