
Enam Individu Dipenjara Lima Tahun Larikan, Kurung Lelaki Warga Palestin
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) — Enam lelaki yang sebelum ini berdepan pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana melarikan dan mengurung lelaki terbabit di sebuah chalet, tiga tahun lepas.
Hakim K. Muniandy menjatuhkan hukuman itu terhadap kesemua tertuduh selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan melarikan dan mengurung lelaki warga Palestin itu.
Mahkamah memerintahkan tiga tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 29 Sept 2022 manakala dua lagi tertuduh masing-masing pada 11 Okt 2022 dan 14 Dis 2023.
Kesemua mereka didakwa bersama-sama melarikan secara paksa seorang lelaki warga Palestin berusia 31 tahun dengan niat supaya individu itu dikurung secara rahsia dan salah di Jalan Mayang, Dang Wangi, di sini pada 10.40 malam, 28 Sept 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Badius Zaman Ahmad memohon supaya kesemua tertuduh dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun, mengambil kira kesalahan dilakukan mereka telah memberikan kesan buruk kepada negara.
“Sebelum ini, kesemua tertuduh didakwa atas pertuduhan menculik, namun representasi mereka telah diterima. Mereka seharusnya bersyukur kerana pertuduhan pilihan telah ditawarkan kepada mereka.
“Tertuduh-tertuduh telah direman selama dua hingga tiga tahun. Oleh itu, mohon hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun,” katanya yang mengendalikan kes bersama TPR Mohd Sabri Othman.
Peguam Norma Goh Kim Lian yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara minimum atas alasan anak guamnya telah insaf selain mempunyai tanggungan keluarga.
Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili seorang lagi tertuduh turut memohon hukuman penjara minimum kerana anak guamnya telah menyesal dan memohon maaf selain dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Sementara itu, kes culik mangsa sama yang dihadapi lapan lagi tertuduh diteruskan dengan perbicaraan.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan niat bersama telah menahan mangsa di lokasi dan waktu yang sama untuk mendapatkan ganjaran, iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.
Kelapan-lapan individu berkenaan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Tengku Arif Bongsu dan pasangan suami isteri, iaitu Nidarahayu serta Raibafie turut berdepan 19 lagi pertuduhan membabitkan jumlah lebih RM250,000, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
BACA: Video Detik-Detik Kemalangan Helikopter PDRM Di Gelang Patah
BACA: Dua Anggota Polis Kritikal Dalam Insiden Helikopter Terhempas Ketika Latihan MITSATOM 2025
BACA: Helikopter Terhempas: PDRM Tumpu Usaha Cari Kotak Hitam – IGP
Sumber: BERNAMA