
JOHOR BAHRU, 6 April – Empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, tengah hari tadi.
Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata pihaknya menerima maklumat melalui Pusat Penyelarasan Carilamat Maritim (MRCC) Putrajaya pada 2.35 petang mengenai empat penyelam warga asing tidak timbul selepas melakukan latihan selaman sekitar 12 tengah hari.
Beliau berkata mangsa terdiri daripada remaja lelaki warga Britain berusia 14 tahun, lelaki warga Britain berusia 46 tahun, wanita warga Perancis berusia 18 tahun dan wanita warga Norway berusia 35 tahun.
“Sehingga 4 petang ini, tiada sebarang penemuan mangsa terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Hizam berkata Op Carilamat telah diaktifkan pada 2.45 petang melibatkan aset daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Malaysia.
— BERNAMA