
Empat Negeri Diramal Hujan Pagi Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di empat negeri sehingga jam 11 pagi ini.
Menurut kenyataan itu, beberapa daerah di negeri Kedah dan Perak diramal hujan. Manakala seluruh negeri Perlis dan Pulau Pinang dijangka hujan lebat pagi ini.
“Di Kedah, daerah yang terlibat adalah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda dan Bandar Baharu.
“Bagi Perak, kawasan yang diramal hujan adalah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak,” maklum kenyataan itu.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.
Dalam pada itu, bernama melaporkan jumlah mangsa banjir di Kedah menurun kepada 698 orang daripada 198 keluarga setakat 8 pagi tadi, berbanding 720 orang daripada 202 keluarga, malam tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa dari daerah Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena masih berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS).
“Daerah Pendang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 562 orang yang ditempatkan di tiga PPS,” menurut kenyataan JPBN.
Di Kota Setar, 128 orang berlindung di sebuah PPS, manakala lapan orang ditempatkan di sebuah PPS di Pokok Sena.
Di Perak, jumlah mangsa banjir kekal 130 mangsa daripada 36 keluarga yang berlindung di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di daerah Manjung.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia