
Empat Negeri Diramal Hujan Lebat Hingga Malam Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di empat negeri dan tiga Wilayah Persekutuan (WP) sehingga jam 7 malam ini.
Menurut kenyataan itu, beberapa daerah di negeri seperti Perak, Selangor, Sarawak dan Sabah diramal hujan.
Manakala seluruh WP Kuala Lumpur, Putrajaya dan WP Labuan turut diramal hujan hingga malam ini.
“Di Perak, daerah yang terlibat adalah Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim. Sementara itu di Selangor melibatkan Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Sepang.
“Beralih ke Sarawak, hanya kawasan Limbang yang diramal hujan. Bagi Sabah pula, melibatkan Pedalaman, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat),” maklum kenyataan itu.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia