TANJUNG MALIM, 26 Okt (Bernama) — Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Slim River di sini, hari ini atas pertuduhan menghalang penjawat awam iaitu polis menjalankan tugas berhampiran Plaza Tol Slim River, pada 16 Okt lepas.
Tertuduh masing-masing berusia 32, 41, 28, dan 25 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurul Hidayah Ismail.
Pada prosiding 20 Okt lepas, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh kerana kesemua mereka tidak memahami bahasa Melayu dan mahkamah menetapkan hari ini untuk memanggil jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sengaja menghalang seorang anggota polis iaitu Koperal Muhd Syahrul Azuwan Ab Manaf daripada menjalankan tugasnya, dengan tidak memberi kerjasama setelah diberi amaran berulang kali untuk beredar dari lokasi kejadian, serta gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta berbuat demikian.
Tertuduh berusia 32, 28 dan 25 tahun yang merupakan pekerja trak tunda dan tertuduh berusia 41 tahun yang tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Slim River, Slim River-Tanjung Malim pada 3.30 pagi, 16 Okt lepas.
Tertuduh berusia 25 tahun turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan menolak badan dan membuka zip ves polis Muhd Syahrul, di tempat dan masa yang sama.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 9 Nov untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam.
Sumber: BERNAMA