Kredit: Google

Empat Lelaki Ditahan Terlibat Edar Dadah – Polis

Amira

PETALING JAYA, 1 Julai (Bernama) — Polis menahan empat lelaki warga tempatan dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah jenis ganja di sekitar Lembah Klang dalam dua serbuan berasingan di Petaling Jaya, di sini, 29 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata kesemua suspek yang ditahan berumur 28 hingga 32 tahun dan polis turut merampas ganja seberat kira-kira 6 kilogram bernilai RM23,943.

“Bertindak atas maklumat, polis menjalankan serbuan pertama di kawasan tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Taman Maju Jaya di sini pada 2.20 petang selepas melihat keberadaan dua suspek menaiki sebuah kereta jenis Peugeot di kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan polis menemukan sebuah beg galas diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang hadapan yang mana di dalamnya mengandungi bungkusan dadah dipercayai jenis ganja seberat satu kilogram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini.

Mohamad Fakhrudin berkata kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan seorang daripada mereka berperanan sebagai orang tengah dalam mencari pembeli dadah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur selain telah bergerak aktif sejak setahun lepas.

Menurutnya, siasatan lanjut ke atas kedua-dua suspek itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek hasil serbuan ke atas sebuah apartmen di kawasan Taman Pasir Permata, di sini serta merampas beg berisi lima ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat kira-kira 4.6 kilogram di dalam bilik utama.

“Polis turut menemukan satu lagi beg plastik di bilik terbabit dengan di dalamnya terdapat tiga lagi ketulan mampat disyaki ganja seberat 500 gram,” katanya.

Beliau berkata polis percaya unit apartmen terbabit digunakan suspek sebagai tempat pemprosesan dadah jenis ganja yang diperolehi sebelum dijual kepada pelanggan.

Keempat-empat suspek juga didapati positif dadah jenis ganja dan mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: BERNAMA