Empat Elemen Penelitian Penguatkuasaan OPS KESAN 4.0 Tangani Pencatutan
Kelantan, 8 Julai 2025 – Sejajar dengan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan pelaksanaan OPS KESAN 4.0 berkuat kuasa pada tarikh yang sama iaitu bermula 1 Julai 2025. Pelaksanaan operasi di seluruh negara ini adalah untuk memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan dengan membuat pergerakan harga sama ada tanpa asas mahupun melakukan pencatutan dengan menggunakan SST sebagai alasan.

Antara fokus penguatkuasaan OPS KESAN 4.0 untuk mengesan pergerakan harga barang dan caj perkhidmatan adalah melalui:
Pemantauan di premis-premis perniagaan melalui data yang diperolehi daripada Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN;
Aduan dan laporan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk orang awam;
Kajian dan risikan pasaran yang dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN.
Sementara itu, tindakan susulan penguatkuasaan yang akan dilaksanakan terhadap sebarang maklumat pergerakan harga barang dan caj perkhidmatan akan melibatkan penelitian kepada empat elemen seperti berikut:

1. Senarai Barang dan Bentuk Perkhidmatan
Pergerakan harga dan caj tertakluk kepada senarai barangan dan perkhidmatan di bawah senarai semakan semula Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan.
Senarai Perniagaan dan Syarikat Berdaftar
Pergerakan harga dan caj tertakluk kepada perniagaan dan syarikat yang melebihi nilai ambang (threshold) yang ditetapkan dan bertanggungjawab untuk berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Tarikh Pendaftaran dan Pergerakan Harga dan Caj
Sebarang pergerakan harga tertakluk kepada tarikh pendaftaran SST dengan JKDM.
Margin Pergerakan dan Pencatutan
Margin atau kadar pergerakan harga sesuatu barangan atau perkhidmatan tidak melibatkan elemen pencatutan dan tidak bertentangan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Sehubungan itu, setiap perniagaan dan syarikat adalah dinasihati untuk mengambil kira kesemua empat elemen penilaian berkenaan sebelum melakukan sebarang pergerakan harga dan caj. Untuk mengelakkan sebarang pelanggaran kepada kerangka perundangan berkaitan, semua pihak berkaitan adalah perlu membuat rujukan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung polisi dan mekanisme pelaksanaan dasar baharu berkaitan SST. Manakala, rujukan boleh dibuat kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDN untuk mendapatkan nasihat berkaitan prinsip asas dan mekanisme penentuan pencatutan.

Setakat 1 hingga 7 Julai 2025, sebanyak 281 premis melibatkan 1,292 Stock Keeping Unit (SKU) telah diperiksa oleh pasukan penguat kuasa KPDN di seluruh negara, termasuk 12 premis melibatkan 60 SKU bagi negeri Kelantan.
Daripada keseluruhan 281 pemeriksaan, sebanyak 2 Notis Hadir di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP 2011) yang melibatkan 6 SKU telah dikeluarkan dan selesai dilaksanakan. Hasil sesi perbincangan kedua-dua syarikat telah bersetuju untuk menangguhkan kenaikan harga serta mengekalkan harga sedia ada. Manakala, 4 syarikat lain juga telah dikeluarkan Notis Hadir dan sedang dalam tindakan sesi libat urus. Sehingga 7 Julai 2025, 16 aduan yang berkaitan dengan OPS KESAN 4.0 telah diterima dan sedang disiasat.